|
BARISAN pemain United menjalani latihan dalam misi memburu kemenangan menjelang aksi EPL bertemu Luton tengah malam ini. – MANCHESTER UNITED
MANCHESTER – Manchester United kini terdesak untuk memecahkan kelompok lima teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan meraih kemenangan ke atas Luton Town pada perlawanan di Stadium Kenilworth Road tengah malam ini.
Pengurus The Red Devils, Erik Ten Hag menyeru anak-anak buahnya agar tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan yang boleh menghalang misi mereka untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut.
Kata Ten Hag, barisan pemain juga perlu menggandakan usaha untuk memastikan keputusan positif dapat dilakar sebagai hadiah kepada Sir Jim Ratcliffe yang akhirnya diberikan ‘lampu hijau’ untuk menjadi pemilik bersama secara rasmi awal minggu ini.
“Saya mahu pasukan berikan yang terbaik di atas padang untuk memastikan momentum kemenangan dilakar sejak beberapa perlawanan lepas diteruskan. Namun, kita juga perlu hormati pasukan lawan yang dilihat agak menonjol pada musim ini.
“Selain itu, ini adalah peluang buat pemain memberikan sesuatu kepada pemilik baharu yang mana kehadirannya telah membakar semangat kami untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi,” katanya.
Sementara itu, pengendali dari Belanda berkenaan turut mengesahkan khidmat pemain pertahanan, Luke Shaw belum pasti dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan minggu lalu.
“Situasi Shaw masih lagi 50-50 kerana jika dia tidak boleh bermain dalam kesebelasan utama, mungkin dia boleh diletakkan di bangku simpanan.
“Status Aaron Wan-Bissaka, Mason Mount dan Tyrell Malacia pula tiada perkembangan baharu dan mereka masih dalam fasa pemulihan,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... lak-diaibkan-luton/ |
|