|
ELLIOTT tidak rela tewas kali kedua kepada Brentford apabila berkunjung ke Stadium Komuniti Gtech malam ini. – LIVERPOOL FC
LONDON – Liverpool melakukan persiapan terbaik dalam misi untuk mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengakui lawan bakal dihadapi selepas ini lebih ‘keras’ menjelang aksi menentang Brentford malam ini.
Pada Januari tahun lalu, The Reds berdepan mimpi ngeri apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan 1-3 ketika menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech.
Justeru, pemain tengah Liverpool, Harvey Elliott menuntut rakan sepasukannya berwaspada dengan ‘sengat’ The Bees kerana 13 bulan lalu mereka pulang kecewa dengan kekalahan ketika berkunjung ke stadium berkenaan.
“Ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sangat sukar. Brentford mempunyai ramai pemain berbakat yang hebat terutama ketika mereka beraksi di laman sendiri.
“Saya akui ia akan menjadi perlawanan yang tidak mudah. Liverpool perlu gunakan segala peluang untuk menguasai aksi tersebut dan seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.
“Kami perlu fokus satu demi satu perlawanan dan memastikan kemenangan menjadi milik kami. Selepas ini, kami akan berdepan banyak perlawanan yang lebih sukar sebelum musim ini berakhir.
“Jadi, kami perlu kekal positif dan perlu berusaha untuk mendapatkan kemenangan di EPL,” katanya.
Ketika ini, Liverpool berada di tangga teratas dengan 54 mata dan hanya dipisahkan dua mata dengan Manchester City dan Arsenal selepas masing-masing mengumpul 52 mata. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... a-sengat-brentford/ |
|