|
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane dan rakan sepasukannya kelihatan sugul selepas kalah di tangan Bayer Leverkusen pada aksi Bundesliga di BayArena, Leverkusen awal pagi tadi. – Foto REUTERS
LEVERKUSEN, Jerman: Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso menguasai perebutan kejuaraan Bundesliga awal pagi tadi, mudah membenam Bayern Munich 3-0 di laman sendiri untuk melonjak lima mata di puncak carta liga.
Pemain kelahiran Munich, Josip Stanisic, yang dipinjamkan dari Bayern, membuka tirai jaringan pada minit ke-18 sebelum Alex Grimaldo menambah satu lagi pada awal babak kedua.
Jeremie Frimpong meraih gol ketiga pada masa kecederaan, menyumbat gol menerusi serangan balas pantas selepas penjaga gol Manuel Neuer naik untuk cuba menjaringkan gol menerusi sepakan sudut Bayern, dengan Leverkusen melengkapkan kemenangan bergaya ketika mereka memburu kejuaraan sulung liga Jerman.
Bayern tidak mempunyai jawapan terhadap Leverkusen yang bertenaga dan berkemahiran tinggi, lancar di serangan dan mengekang setiap usaha bintang serangan Harry Kane di benteng pertahanan.
Dengan berbaki 13 perlawanan musim ini, Leverkusen yang muncul naib juara lima kali kini berpeluang cerah untuk menamatkan penguasaan 11 tahun Bayern dalam Bundesliga sekali gus melupakan gelaran tidak diingini mereka 'Neverkusen'.
Pemain Bayer Leverkusen, Josip Stanisic meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan ketika berdepan Bayern Munich dalam aksi Bundesliga di BayArena, Leverkusen awal pagi tadi. – Foto REUTERS
"Dari minit pertama hingga minit 90, kami menguasai lawan," kata pemain tengah Leverkusen, Robert Andrich kepada Sky.
Alonso memberitahu wartawan "apabila anda mempunyai pemain yang sedia melakukan pengorbanan, pasukan akan menjadi lebih kuat."
Pemain tengah Bayern, Thomas Mueller jelas kecewa dengan persembahan hambar pasukannya.
"Leverkusen mengambil risiko, mencari setiap jalan penyelesaian dan bermain bola sepak," katanya.
"Kami bermain dari A ke B, B ke C – dan tiada siapa beraksi dengan bebas atau mengambil risiko." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... n-kuasai-bundesliga |
|