CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20693|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak terima RM105.9 juta untuk penyelenggaraan jalan

[Copy link]
Post time 5-2-2024 10:30 PM | Show all posts |Read mode
Peruntukan tinggi bukti keprihatinan kerajaan pusat dalam aspek keperluan penyelenggaraan jalan di negeri ini



Nanta (kiri) mendengar taklimat disampaikan berhubung salah satu laluan dilawatinya di Miri hari ini.

MIRI: Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM105.9 juta bagi tahun 2024 untuk  membiayai penyelenggaraan jalan raya di seluruh negeri ini.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, di bawah peruntukan kerja berkala, Sarawak menerima peruntukan tinggi sejak dua tahun lalu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan pusat dalam aspek keperluan penyelenggaraan jalan-jalan raya di negeri ini.

"Pada 2022, Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM81,237,562 (RM81.2 juta) sementara pada 2023 ialah 82,185,717 (RM82.1 juta) dan 2024 melonjak kepada 105.9 juta.

“Kita boleh lihat Sarawak menyaksikan kenaikan dua tahun terakhir ini," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Nanta dan rombongan Kementerian Kerja Raya (KKR) meninjau kemajuan pelaksanaan dan perancangan infrastruktur Jalan Persekutuan di sini bagi memastikan jaringan perhubungan darat di Miri khususnya sentiasa berada dalam keadaan selesa dan selamat.

Siri turun padang itu bermula dengan tinjauan lokasi Pakej Kuala Baram ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh yang merupakan salah satu daripada tiga pakej Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) bagi menambah baik Jalan Persekutuan antara sempadan Miri, Limbang dan Lawas ke Brunei Darussalam.

Nanta kemudian meninjau prestasi kemajuan kerja pembinaan Pakej 11 - Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak khususnya pembinaan 'viaduct' di Seksyen Lambir.

Bagi Pakej Kerja WP11, kemajuan kerja kini 97.45 peratus siap dan keseluruhannya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri dijadualkan siap pada April 2024.  

"Kerja-kerja melibatkan reka bentuk semula pembinaan 'viaduct Seksyen Lambir' bermula November 2023 dengan jangkaan siap suku keempat 2025 namun tidak menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya kerana masih boleh menggunakan jalan sedia ada.

"Justeru, saya mohon semua pihak khususnya pengguna jalan raya bersabar tetapi kita akan menyiapkannya dan memerlukan kewangan agak besar.

"Cuma sekarang, kita perlu 'option' sama ada membuat reka bentuk pembinaan semula atas (paip utama) atau alih laluan ke tempat lain.

“Ini memerlukan pertimbangan kewangan juga reka bentuk (pilihan perlu diambil) kerana aspek ini penting," jelasnya.  

Dalam perkembangan lain, Nanta memberitahu bahawa jumlah panjang Jalan Persekutuan di bahagian Miri diselenggarakan syarikat konsesi adalah sepanjang 85.76km iaitu 44.03km dikategorikan sebagai Jalan Protokol manakala 41.73km adalah Jalan Primary.

"KKR menyediakan anggaran peruntukan sejumlah RM2.8 juta setahun melaksanakan penyelenggaraan rutin Jalan Persekutuan di Miri.

"Pada 2023, beberapa tindakan segera diambil konsesi Jalan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek menangani masalah jalan berlubang dengan melaksanakan penampalan di bawah kerja-kerja penyelenggaraan rutin," katanya.

Beliau menambah, kuantiti kerja tampalan 'potholes' bagi tempoh Januari hingga Disember 2023 dilaksanakan sebanyak 209 bilangan.

Bagi permukaan turapan jalan rosak akibat faktor pengusiaan dan berada tahap kritikal, kerja-kerja penyelenggaraan diluluskan di bawah Penyelenggaraan Berkala Pavemen dengan peruntukan sejumlah RM4.6 juta melibatkan tiga lokasi dilaksanakan segera tahun ini.

"Selain itu, kementerian meluluskan sejumlah RM0.8 juta bagi pelaksanaan penyelenggaraan berkala bukan pavemen melibatkan empat lokasi dan sejumlah RM0.3 juta melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil Jambatan Sungai Lutong.

"Bagi mengatasi isu berbangkit berkaitan penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di sini, KKR meluluskan sejumlah RM0.5 juta bagi pembayaran bil lampu jalan dan lampu isyarat dan sejumlah RM0.3 juta bagi penyelenggaraan lampu isyarat," jelasnya.

Beliau memberitahu, melalui kerja-kerja naik taraf, projek baharu dan penyelenggaraan Jalan Persekutuan di sini ia membuktikan komitmen berterusan KKR menyediakan fasiliti dan infrastruktur selamat dan selesa kepada rakyat.  

Katanya, ia bakal mengurangkan masalah kesesakan di bandar raya Miri, mengurangkan masa perjalanan, menggalakkan aktiviti pelancongan sekitar kawasan bandar serta mempercepat pertumbuhan ekonomi Sarawak.  

"Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan dilancarkan KKR memberi perkhidmatan terbaik bagi mengatasi isu-isu berkaitan jalan raya terutama Jalan Persekutuan," katanya.

Turut mengiringi beliau pada lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar MBM Adam Yii serta Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 04:19 PM GMT+8 , Processed in 0.096756 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list