CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8817|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Lebih 500,000 buruh asing 'menganggur'

[Copy link]
Post time 8-1-2024 12:26 PM | Show all posts |Read mode

Kebanjiran warga asing di seluruh negara menimbulkan ketidaktenteraman awam. - Foto hiasan fail NSTP

Kuala Lumpur: Jumlah pekerja asing yang 'menganggur' atau langsung tidak diupah oleh mana-mana majikan dan bekerja dalam bidang bukan sektor dibenarkan di negara ini didapati kini menjangkau lebih 500,000 orang.

Meskipun mereka masuk secara sah dan sepatutnya sudah berkhidmat dalam lima sektor dibenarkan kerajaan, bagaimanapun ia tidak berlaku sekali gus memaksa mereka 'berkeliaran' dalam koloni pekerja asing di seluruh negara.

Mereka yang tiada pekerjaan ini menjadi antara penyumbang kepada kebanjiran pekerja asing dalam negara yang kini dianggarkan melebihi 2.7 juta sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam dan pelbagai masalah sosioekonomi.

Mendedahkan demikian, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair, berkata jumlah 500,000 itu berdasarkan negara membawa masuk kira-kira dua juta pekerja asing selepas pandemik COVID-19 pada 2022, namun jumlah diperlukan ketika itu kira-kira 1.2 juta sahaja.



"Selepas tempoh itu, jutaan lagi diumumkan akan dibawa masuk dan baru-baru ini ketika V Sivakumar menjadi Menteri Sumber Manusia, mengumumkan 500,000 pekerja asing lagi dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat.

"Daripada jumlah ini, kita mendapati kemungkinan jumlah lebihan pekerja asing dalam negara adalah amat besar dan saya berani katakan ketika ini atau sejak 2022 sudah ada lebih daripada 500,000 pekerja asing yang tidak bekerja dengan mana-mana majikan," katanya kepada BH

Kelmarin, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekali lagi menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas terhadap mana-mana syarikat yang menipu pekerja asing dan membiarkan mereka dalam keadaan susah sebaik tiba di Malaysia.

Beliau mencadangkan mana-mana syarikat didapati membawa masuk pekerja asing, tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan, perlu dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Ini susulan kejadian sejumlah 171 warga Bangladesh mendakwa ditipu ejen pekerjaan berjalan beramai-ramai di daerah Kota Tinggi, Johor sehingga menimbulkan kegusaran awam pada 20 Disember lalu.

Masuk melalui permintaan

Mengulas lanjut, Sukumaran berkata, kebanyakan pekerja asing yang menganggur adalah dari negara Asia Barat yang masuk melalui permintaan majikan di negara ini.

Namun, beliau berkata, jumlah yang dibawa masuk berlebihan apabila majikan membuat permohonan jumlah pekerja asing yang diingini.

"Sebagai contoh, apabila majikan memohon 80 pekerja, mereka tidak akan membawa masuk 80 orang sahaja sebaliknya berganda-ganda dari jumlah diperlukan, termasuk kelulusan permit kepada majikan yang tidak memerlukan pekerja.

"Ejen biasanya akan menguruskan kemasukan lebih ramai dengan menanggung kos lebihan warga asing itu," katanya.

Sukumaran juga mendedahkan, ada ejen pekerja asing sanggup bayar levi sepatutnya ditanggung majikan kerana mereka boleh meraih keuntungan ribuan ringgit bagi seorang pekerja.

Katanya, untuk datang ke Malaysia, ejen mengenakan bayaran RM20,000 ke RM25,0000 bagi setiap pekerja asing.

"Kos pengurusan di negara sumber pula hanya sekitar RM6,000 sahaja, manakala bayaran levi semasa bagi lima sektor Malaysia kurang RM2,000.

"Jadi, apabila sudah mengutip bayaran puluhan ribu daripada seorang warga asing yang mahu cari kerja di Malaysia pastinya mereka berusaha membawa masuk pekerja itu ke negara ini.

"Di sini mereka cari majikan Malaysia yang memerlukan atau tidak memerlukan pekerja.

"Selepas kuota itu diluluskan dan dibawa masuk, kerja ejen dianggap selesai dan mereka tidak hiraukan sama ada warga asing itu ada majikan atau tidak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... uh-asing-menganggur
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2024 05:09 PM GMT+8 , Processed in 1.213891 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list