|
Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic menanduk masuk gol kemenangan 2-1 mengatasi Salernitana pada aksi Serie A Itali di Stadio Arechi, Salerno awal pagi tadi. – Foto REUTERS
MILAN: Dusan Vlahovic memastikan Juventus kekal dua mata di belakang pendahulu Serie A, Inter Milan dengan gol kemenangan lewat aksi ketika menundukkan Salernitana yang beraksi 10 pemain 2-1 awal pagi tadi.
Penyerang Serbia, Vlahovic menanduk masuk pada minit pertama masa kecederaan untuk membantu Juve meraih tiga mata, melengkapkan kebangkitan bermakna selepas ketinggalan satu gol di Stadio Arechi.
"Kami memberikan segala-galanya malam ini dan kami berhak untuk menang. Kami tidak pernah berputus asa, kami melontarkan segala-galanya hingga ke wisel penamat," kata Vlahovic kepada DAZN.
"Sasaran kami adalah untuk kembali ke Liga Juara-Juara, selepas itu kami akan berdepan satu perlawanan demi satu perlawanan dan lihat di mana kami berakhir."
Gol ketujuh pemain berusia 23 tahun itu musim ini hadir pada hujung saingan di Salerno, yang mana tuan rumah berjuang hebat sekalipun selepas kehilangan penjaring gol Giulio Maggiore kerana kad kuning kedua pada minit ke-53.
Maggiore meletakkan Salernitana di depan enam minit sebelum rehat namun pemain gantian Samuel Iling-Junior membantu pelawat menyamakan kedudukan dengan rembatan padu dari jarak dekat pada minit ke-65, mencetus penamat mendebarkan.
Vlahovic kemudian tampil memastikan Juve bersaing rapat dengan Inter yang menang secara kontroversi ke atas Verona kelmarin dan mempunyai jadual perlawanan lebih sukar dalam tempoh sebulan akan datang.
Salernitana, yang dibelasah Juve 6-1 pada aksi Piala Itali pada pertengahan minggu lalu, kekal di tangga tercorot divisyen selepas kekalahan itu, kelima buat mereka dalam tujuh perlawanan. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... juve-kekal-bersaing |
|