|
Yahya Yasin, 48, menunjukkan perangkap lebah kelulut yang dipasang di pokok sekitar rumahnya. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Berang: Disebabkan sering kerugian akibat banjir, penternak lebah kelulut mengambil inisiatif mencipta perangkap bagi menarik kehadiran koloni kelulut untuk bersarang sebagai usaha mengurangkan kos penternakan.
Yahya Yasin, 48, dari Kampung Paya Besar, di sini, berkata banjir pada Disember lalu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila 19 sarang kelulut musnah.
Menurutnya, dia mengusahakan penternakan lebah kelulut sebagai mata pencarian sejak 12 tahun lalu dengan memiliki 100 sarang serangga berkenaan.
Katanya, kini dia hanya mempunyai 26 sarang kelulut sahaja berikutan musnah akibat banjir apabila perkarangan rumahnya ditenggelami air sedalam 1.5 meter.
"Hendak beli sarang baru (bongkah kayu yang mempunyai koloni lebah kelulut) memerlukan modal besar kerana setiap sarang kalau dibeli daripada penjual mencecah RM750 satu bongkah.
"Bagi meneruskan kesinambungan ternakan kelulut ini, saya terpaksa membuat sendiri perangkap kelulut menggunakan botol air dan dibalut menggunakan plastik hitam.
"Di dalam botol pula, saya letak propolis bagi menarik koloni lebah kelulut bersarang dan sekiranya perangkap mengena saya akan alihkan koloni lebah ke sarang yang diperbuat daripada kayu," katanya.
Menurutnya, dia akan membuat 10 perangkap lebah kelulut dan dipasang pada pokok di sekeliling rumahnya dan sekiranya bernasib baik dua hingga ke tiga perangkap akan dihuni koloni lebah kelulut.
Katanya, secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian ditanggung akibat banjir saban tahun yang merosakkan sarang kelulut miliknya.
"Biasanya tempoh tiga bulan diambil untuk koloni lebah kelulut bersarang di dalam perangkap dan kaedah itu yang mampu saya lakukan untuk menambah bilangan sarang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bung-rezeki-kelulut |
|