|
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) bersama penjaring prolifiknya, Mohamed Salah. - Foto AGENSI
LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp secara berseloroh berkata, dia tidak mengharapkan tuah untuk Mohamed Salah di Piala Negara-Negara Afrika kerana mahu pemainnya itu pulang lebih awal.
Salah kini bersama Mesir untuk kejohanan di Ivory Coast manakala kapten Jepun, Wataru Endo akan terbabit dalam Piala Asia di Qatar.
Kedua-dua pemain itu hanya akan kembali ke Anfield pada minggu kedua Februari tetapi Klopp berkata dia melepaskan mereka minggu ini tanpa mengharapkan kejayaan yang terlalu besar.
"Saya kata jika saya ucapkan selamat maju jaya ia adalah satu pembohongan. Secara peribadi, saya akan lebih gembira jika mereka tersingkir di peringkat kumpulan tetapi itu mustahil. Mereka mampu menjuarainya.
"Jadi ia adalah 'Selamat maju jaya dan kembali dalam keadaan sihat'. Kami perlu menerimanya dan akan menanganinya. Saya yakin kami akan ada penyelesaiannya," kata Klopp.
Klopp tidak mempunyai pengganti sesuai untuk Salah, yang bermain di sayap kanan serangan dan sudah menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Pemain tengah, Dominik Szoboszlai antara pilihan yang ada tetapi dia tidak dapat beraksi untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan akan datang kerana kecederaan hamstring ketika kemenangan ke atas Newcastle pada Tahun Baru.
Bagaimanapun Klopp yakin pasukannya, yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris, mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Salah.
"Saya rasa kami menentang West Ham (suku akhir Piala Liga bulan lalu) tanpa Mo dan Harvey Elliot menggantikannya.
"Kami mempunyai pilihan serangan yang mampu bermain di bahagian sayap dengan cara berbeza. Tidak ada sesiapa bermain seperti Mo, ia tidak mungkin.
"Adakah kami mahu bermain tanpa Mo? Tidak. Sebelum ini kami tidak terlalu kerap menghadapinya, tetapi pasti ada jalan penyelesaian.
"Namun kami bertemu Arsenal dan anda boleh tewas walaupun ada Mo Salah, jadi kami juga mampu kalah tanpanya," katanya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... p-salah-pulang-awal |
|