|
Pemain Tottenham Hotspur, Pedro Porro meledak gol kemenangan ke atas Burnley dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto REUTERS
LONDON: Jaringan Pedro Porro memastikan kemenangan 1-0 Tottenham ke atas Burnley pada pusingan ketiga Piala FA.
Porro meledak gol pertamanya musim ini ketika permainan berbaki 12 minit di Stadium Tottenham Hotspur dan memastikan kemaraan ke pusingan keempat buat tuan rumah.
Ia adalah kemenangan kelima dalam enam perlawanan terakhir Tottenham selepas permulaan cemerlang di awal musim dibayangi kemerosotan sepanjang musim luruh.
Pengendalinya, Ange Postecoglou berkata, Tottenham mengimpikan untuk memenangi trofi seperti Piala FA setiap tahun.
Tanpa kejuaraan besar sejak memenangi Piala Liga 2008, peminat Tottenham akan menerima apa sahaja kejuaraan yang mampu dicapai ketika ini.
Kali terakhir mereka memenangi trofi Piala FA ialah pada tahun 1991, kejuaraan kali kelapan Spurs dalam kejohanan berkenaan dan Postecoglou pasti mahu meraikan musim pertamanya dengan menamatkan penantian untuk kejayaan kesembilan.
"Kami kurang tajam di bahagian serangan. Perlawanan ini memerlukan sentuhan istimewa daripada seseorang dan Pedro melakukannya. Dia menyerlah sepanjang tahun.
"Kejohanan ini sangat unik dan kami berjaya mara ke pusingan seterusnya, ia amat penting," kata Postecoglou.
Tottenham turun tanpa Son Heung-min yang memikul cabaran di Sukan Asia bersama Korea Selatan, dan Pape Sarr, yang menyertai Senegal di Piala Negara-Negara Afrika.
Dalam perlawanan lain, Wolves seri 1-1 di Brentford hasil jaringan Tommy Doyle yang mengimbangi gol pembukaan Neal Maupay.
Fulham menewaskan Rotherham 1-0 di Craven Cottage untuk menempah tempat di pusingan keempat. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... an-keempat-piala-fa |
|