ALOR SETAR: Hampir 100 bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) sesi persekolahan 1981-1985 meluangkan masa menghadiri perjumpaan semula (reunion) pada usia 55 tahun yang berlangsung di sebuah hotel di bandar raya ini, malam tadi.
Perjumpaan bertemakan persaudaraan sepanjang hayat itu menghimpunkan kumpulan bekas pelajar KSAH terbabit, yang kini berada di seluruh negara kerana kehidupan keluarga dan kerjaya masing-masing.
Ada yang sanggup mengharungi penerbangan jauh dari luar negara untuk pulang demi bertemu rakan-rakan persekolahan.
Sebahagian besar bekas pelajar yang hadir pernah tinggal bersama di asrama KSAH sepanjang persekolahan dahulu.
Sebahagian daripada bekas pelajar KSAH 81-85 yang menghadiri pertemuan semula di Alor Setar malam tadi.
Sempena perjumpaan malam tadi, seramai 10 bekas guru yang pernah mengajar kumpulan pelajar berkenaan ketika di KSAH di antara Tingkatan Satu hingga Lima pada tahun 1981 hingga 1985 turut dijemput memeriahkan pertemuan yang berlangsung.
Sebahagian bekas pelajar KSAH yang hadir pada perjumpaan semula di Alor Setar malam tadi
Acara perjumpaan itu bermula dengan sesi pendaftaran dengan program sembang santai serta tahlil memperingati beberapa rakan persekolahan yang sudah meninggal dunia.
Sempena kepulangan untuk menghadiri perjumpaan itu, ada dalam kalangan mereka turut meluangkan masa melawat sambil meninjau perkembangan terkini KSAH yang dibuka sejak 1908.