ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengesahkan sudah menerima minyak diesel tambahan untuk diagihkan ke semua stesen minyak tertenu di negeri ini.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, diesel tambahan itu diterima berdasarkan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Rabu lalu.
Beliau berkata, minyak diesel tambahan itu diterima bermula hari ini dan setakat ini Kedah menerima lebih 250,000 liter.
"Penerimaan minyak diesel tambahan itu dijangka mencukupi kerana setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang maklumat berhubung kekurangan minyak diesel termasuk berhampiran sempadan.
"Mungkin ada (kekurangan) tapi setakat ini kita belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Affendi berkata, pihaknya turut memuji langkah pengguna yang bijak mencari alternatif lain sekiranya didapati tempat itu berkurangan minyak.
"Kita mempunyai 355 stesen minyak di negeri ini termasuk berhampiran kawasan sempadan Malaysia dan pihak KPDN Kedah sentiasa melakukan pemantauan setiap hari.
"Jika pengguna mempunyai masalah mereka boleh terus membuat aduan kepada pihak KPDN Kedah untuk memudahkan sesuatu tindakan diambil," katanya.
Sementara itu, tinjauan di stesen minyak di Alor Setar mendapati, bekalan minyak diesel tidak mempunyai masalah dan sudah menerima bahan api itu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa stesen minyak di seluruh negara ini yang terputus bekalan minyak diesel akan menerima bahan bakar itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.