View: 25712|Reply: 0
|
Suami kaki pukul dan biawak hidup. Ugut bawa lari anak jika isteri minta cerai
[Copy link]
|
|
Suami kaki pukul dan biawak hidup. Ugut bawa lari anak jika isteri minta cerai
“Dua minggu berturut-turut bermula 4 Jun lalu saya ikuti DCCK dan membuatkan saya sakit hati dan marah. Bukan saja sakit hati kerana kaum lelaki terutamanya suami bertindak keterlaluan menganiaya isteri masing-masing, tetapi rasa sakit hati juga kerana sikap kaum wanita sendiri yang tidak keterlaluan kalau saya katakan mereka sengaja memperbodohkan diri sendiri.
“Saya cukup hairan kerana sudah terang-terang suami kaki pukul, bukan setakat bagi pelempang malah cederakan tubuh badan isterinya sehingga cedera kekal, tetapi mereka masih sayang dan tunggu suami tanpa bertindak mempertahankan diri dipukul suami.
“Kerana terlalu sakit hati, saya terpaksa ceritakan apa yang saya lihat sendiri dengan sikap seorang isteri yang baik lagi penyabar, terus terusan mendiamkan diri walaupun suaminya bertindak ganas memukul sesuka hati, tanpa menjaga maruah apabila dia memukul isterinya di hadapan tetamu.
“Sedangkan kesilapan isterinya bukan besar sangat, tetapi dia hany mahu lepaskan rasa benci dan marah kepada isterinya kerana melayan tetamu yang datang ke rumah tanpa beritahu dia terlebih dahulu.’’ itu cerita Chempaka Sari kepada penulis Isnin lepas.
“Ketika membaca DCCK 4 Jun lalu, saya dan beberapa orang rakan mula bercakap tentang persamaan perbuatan pukul isteri ini sama dengan kejadian yang kami lihat depan mata kami sendiri. Amat menakutkan. Tetapi kami terpaksa berdiam diri kerana tak mahu dituduh cuba mencampuri hal rumahtangga orang.
“Tetapi bila baca DCCK minggu lepas dan setelah kami berbincang sesama sendiri tentang beberapa kes isteri dipukul suami hingga ada yang mati dan cedera parah, maka kami berpakat kami mesti bercerita apa yang dilihat depan mata kami. Niat kami supaya para suami jangan bertindak ganas memukul isterinya semata-mata kerana isterinya lemah. Dan kami tak boleh berdiam diri. Kes seperti ini mesti diketengahkan.
“Tujuan kami juga untuk sedarkan para isteri jangan bodohkan diri jika dapat suami kaki pukul, jangan biarkan diri diseksa terus menerus, sedangkan suami yang disayangi itu bukanlah suami yang baik, malah perbuatannya bukan sahaja boleh mencederakan malah boleh membawa maut jika isteri terus berdiam diri.
“Ada orang mendakwa kalau isteri kena pukul itu berpunca dari sikap, perbuatan, mulut dan kejahatan si isteri itu sendiri hingga suaminya naik tangan kaki. Tetapi walau apa pun keburukan si isteri, suami tak boleh pukul isteri. Walaupun isterinya tak masuk ajar, jahat, mulut laser, melawan atau suka memaki hamun suaminya.
“Namun suami tidak boleh pukul isteri kecuali menasihati. Jika masih gagal suami boleh ceraikan atau tinggalkan isterinya beberapa bulan supaya si isteri insaf. Bukan pukul.
“Saya dan beberapa orang kawan merasa terlalu sedih dengan kejadian yang kami lihat depan mata sendiri. Kami penuntut sebuah IPTA. Nak jadikan cerita, satu hari kami berjalan ke rumah Puan S. Dia memang peramah, berbudi bahasa dan lemah lembut. Secara bergurau kami pernah mempelawa diri sendiri hendak berjalan ke rumahnya. Dia gembira dan sangat mengalu-ngalukan.
“Ketika kami tiba, suaminya tidak ada di rumah dan Puan S baru balik daripada mengambil anak kecilnya di rumah pengasuh. Sementara dua orang lagi anaknya baru balik kelas agama. Kerana anak-anaknya pun ramah, kami berbual sambil menonton tv.
“Kami perhatikan mereka tertib dan suka berkawan walaupun kami bukan sebaya mereka. Tetapi mereka boleh berbual dan bertanya tentang kami. Sementara ibunya sibuk di dapur dibantu rakan kami untuk menghidangkan air.
“Ketika kami sedang menghadap minuman, suami Puan S balik. Kami terus berbual dengan anak-anaknya tetapi mereka ini seakan faham bila mereka dengar pintu kereta ditutup kuat. Mereka sepantas kilat berlari masuk bilik. Kami terdiam. Bila kami lihat wajah suami Puan S memang bengis, kami kaku terdiam tidak berani menyambung perbualan.
“Kami terkejut lihat suami Puan S menolak kuat dia masuk ke dapur. Kemudian kami terdengar suara suaminya, “kau ingat rumah ni hotel boleh bawa orang datang sesuka hati?” Kami berpandangan sesama sendiri sebab merasa tersindir.
“Kawan ajak segera balik. Tetapi kami perlu beritahu Puan S dulu, lagi pun dengan siapa kami nak tinggalkan anak kecil 3 tahun ini? Kakak dan abangnya sudah lari masuk bilik. Mendengar suara ayahnya menjerit kuat, kanak-kanak ini pun menangis. Dalam pada itu, kami dengar suami Puan S terus mengamuk di dapur.
“Mendengar anaknya menangis, Puan S berlari ke ruang tamu. Tetapi suaminya lagi pantas mengikut dari belakang dan menarik tudungnya hingga tertanggal. Kami lihat tangannya sepantas kilat mengetuk dua kali kepala Puan S sehingga membuatkan Puan S terhoyong hayang. Kami bertiga terkaku melihat kejadian itu di depan mata.
“Ketika itu saya memeluk anak Puan S, tak sampai hati nak tinggalkan anak kecil ini sendirian. Kami dengar suara suami Puan S keras “kau ingat aku tunggul kayu, bawa orang sesuka hati?’’ Ketika itu kami terasa amat malu sebab berani datang ke rumah Puan S. Menyesal pun ada tetapi memang kami pernah dipelawa datang ke rumah Puan S. Jika kami tahu suaminya ganas dan kasar, taubat kami tak datang.
“Sambil membebel, suami Puan S berjalan masuk ke bilik anak-anaknya. Kami dengar anak-anaknya menangis sebab dirotan kerana tak mandi selepas balik sekolah. Ketika itu rasa kesal tertanam di hati kerana kehadiran kami menyebabkan anak beranak Puan S berantakan.
“Puan S tidak benarkan kami balik sebab dia tahu jauh. Waktu itu panggil Grab pun gagal. Puan S terus capai kunci kereta dan beg tangan. Puan S hendak hantar kami ke perhentian bas. Dalam keadaan serba salah dan ketakutan, kami naik juga kereta Puan S.
“Dalam kereta, kami semua membisu tak berani bersuara. Sampai di hentian bas kami ucapkan terima kasih kepada Puan S. Tak jadi tunggu bas, kami naik teksi sebab nak cepat sampai rumah. Di rumah kami bertiga termenung tak bercakap, kelu dalam penuh kekasalan.
“Dua hari kemudian Puan S panggil kami bertiga. Di sudut sebuah restoran dia bercerita masalah hidupnya, tanpa kami tanya. Katanya, dia tidak menduga begini nasib yang menimpa. Katanya dulu dia susah bila keluarga halau dia keluar rumah kerana dia memeluk agama Islam. Tetapi dia nekad belajar sambil bekerja membuatkan dia berjaya masuk ke IPTA dan akhirnya menjawat jawatan yang dia pegang sekarang.
“Keluarganya pernah mengajak dia pulang, tetapi dia tolak setelah bertemu dengan suaminya dan berkahwin. Menyebabkan keluarga semakin pulaukan dia. Malangnya nasib dia kurang baik, suami bukanlah tempat dia bergantung. Sebaliknya setelah melahirkan dua orang anak, suaminya berhenti kerja. Katanya kerjanya tak sesuai, jadi terpaksalah Puan S sara keluarga sendirian. Ketika bekerja pun suaminya tidak sara keluarga sepenuhnya.
“Setelah berhenti kerja, perangai suaminya bertambah cemburu, malah mahu kawal kewangan Puan S. Dan kerana Puan S tidak bersetuju, suaminya jadi lebih garang dan pemarah. Tak cukup itu, suaminya bertambah malas bekerja dan meminta duit setiap kali keluar rumah. Bab makan minum Puan S mesti sediakan.
“Katanya dia sering dipukul kalau permintaannya tidak dipenuhi. Dia bertindak demikian kerana dia tahu Puan S tidak ada keluarga selain dirinya. Puan S meminta kami rahsiakan masalahnya supaya tidak menjadi bualan di tempat kami belajar.
“Saya beranikan diri bertanya adakah tangannya yang bersimen dulu akibat dipukul? Beliau mengaku, malah dia sering pening dan gelap mata kerana kepalanya pernah dihentak ke dinding. Malah jari tangannya juga pernah disimen kerana menahan kepalanya daripada dipukul dengan payung.
“Mendengar cerita yang mengerikan itu, kawan mencadangkan Puan S bercerai. Tetapi suaminya tidak akan ceraikannya, malah mengugut kalau dia dipanggil ke mahkamah, dia akan ambil tiga orang anaknya. Dia akan bagi alasan Puan S akan kembali ke agama asalnya.
“Ini yang menakutkan Puan S, dia tak boleh berpisah dengan anak-anaknya. Dan dia tahu suaminya tidak bekerja, bagaiman adia boleh sara anak-anak, kecuali dia serahkan anaknya kepada keluarga di kampung. Ini yang membimbangkan Puan S. Dia bimbang pelajaran dan masa depan anak-anaknya akan terganggu.
“Puan S tahu mertuanya kurang ambil berat tentang pelajaran, sebab itu anak-anaknya ramai tercicir dalam pelajaran termasuk suaminya yang kurang didikan agama dan malas bekerja.
“Namun beliau berazam bersabar beberapa tahun lagi hingga dua orang anaknya dapat masuk sekolah berasrama. Ketika itu dia tidak bimbang jika bercerai sementara anak kecilnya akan memilih dirinya bukan suaminya. Namun beliau berdoa suaminya berubah.
“Akhir kalam kami ingatkan Puan S supaya berhati-hati, kami bimbang kejadian buruk berulang. Kami tak mahu dia terlantar di hospital dan suaminya ditahan polis, apa akan jadi dengan anak-anaknya. Ketika itu, kami lihat Puan S menangis, katanya dia memang takut sambil berdoa keselamatan dia anak beranak. Kami akhiri perbualan dengan linangan air mata.
“Di rumah kami bertiga berazam tidak akan kahwini lelaki sembarangan. Kami tak takut jadi andartu. Emak ayah yang besarkan, beri kami didikan agama dan pelajaran tidak pernah pukul kami, tetapi mengapa suami yang dapat kesenangan hidup dari isterinya, sanggup cederakan isteri, sedangkan dia tidak pernah keluar sesen duit pun besarkan kami. Aduh!! Layakkan lelaki seperti ini jadi suami, jika ini berlaku, lebih baik bercerai daripada diseksa.’’ Itu pandangan Chempaka Sari dengan perangai suami kaki pukul, pembengis dan garang.
Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau 0122833142 atau email ke [email protected] atau [email protected].
Sumber:https://utusantv.com/2023/06/18/ ... isteri-minta-cerai/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|