Kuala Perlis: Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Fasa I yang dibangunkan di atas tanah milik kerajaan negeri Perlis di Kampung Wai, Mukim Kuala Perlis di sini yang dalam usaha meningkatkan kualiti hidup nelayan di negeri itu telah siap dibina.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata projek itu menelan belanja sebanyak RM10.54 juta di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan (TKPN) yang merangkumi komponen satu blok rumah kediaman pangsa lima tingkat dengan terdapat 60 unit rumah selain pembinaan kemudahan awam iaitu surau dan dewan.
"Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membangunkan projek PSN Fasa I di atas tanah milik kerajaan negeri.
"...pemilihan lokasi tapak ini adalah bersesuaian dengan keperluan nelayan di kawasan ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci kepada 17 penerima Program PSN itu, di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata pemilihan nelayan untuk projek PSN itu diselaraskan oleh LKIM Perlis dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Perlis dan keutamaan diberikan kepada golongan nelayan yang tidak mempunyai rumah dan tanah.
Beliau berkata kaedah tawaran adalah secara jual beli dengan harga jualan seunit rumah RM50,000.
"Terkini, sebanyak 56 unit rumah telah dibuat tawaran kepada pemohon yang berjaya. Daripada jumlah tersebut, 17 pemohon telah mendapat kelulusan pembiayaan perumahan," katanya.