|
Lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dengan kegiatan 'ulat parkir' di sekitar Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PDRM. FOTO IHSAN MBPP
Georgetown: Tindakan seorang lelaki mengenakan caj parkir kereta yang mahal di sekitar tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, membawa padah apabila dia ditahan, malam semalam.
Operasi membanteras 'ulat parkir' itu dilakukan Unit Risikan/Operasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut susulan aduan awam.
Pengarah Penguatkuasaan MBPP Noorazrein Noorazlan Ong berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengunjung dan pemilik kenderaan berikutan caj parkir yang dikenakan terlalu mahal.
Menurutnya, aduan juga diterima berkaitan kesesakan teruk di sepanjang laluan Sungai Nibong dan kawasan sekitar tapak pesta.
"Dalam operasi itu, seorang lelaki berusia 40-an disyaki ulat parkir ditahan dan kes diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Sebelum ini memang ada operasi yang dijalankan pihak polis, namun kali ini kita memohon kerjasama mereka bagi mengatasi masalah ulat parkir selepas menerima aduan orang ramai," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak memberi wang kepada ulat parkir berkenaan.
Terdahulu, terdapat rungutan daripada pengunjung apabila terpaksa membayar wang parkir antara RM5 hingga RM15 kepada ulat parkir berkenaan untuk meletakkan kenderaan mereka.
Namun, mereka mendakwa disaman pihak berkuasa walaupun sudah membayar sejumlah wang kepada ulat parkir.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cekik-darah-ditahan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|