View: 3041|Reply: 0
|
Mamut hampir pasti kekal, Habib berbelah bahagi
[Copy link]
|
|
HABIB menerima beberapa tawaran lain menyebabkan dia masih belum membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama TFC atau sebaliknya.
AYAM tambatan Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut hampir pasti kekal menyarung jersi naib juara Piala Malaysia tersebut pada musim hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, perbincangan berhubung tawaran kontrak pemain kelahiran Croatia berusia 25 tahun tersebut berjalan lancar.
“Kami sedar beberapa kelab lain turut memberi perhatian terhadap Mamut, tetapi nampaknya beliau ‘setia’ dengan TFC.
“Boleh dikatakan 80 peratus Mamut kekal mengetuai jenteran serangan TFC musim hadapan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Sebelum ini, desas-desus mengatakan Selangor berminat menyambar Mamut sebagai persiapan menguatkan jenteran serangan Red Giant bagi menghadapi saingan peringkat Asia musim depan.
Dalam pada itu, berbeza pula dengan seorang lagi pemain import, Habib Haroon yang masih berbelah bahagi sama ada terus bersama skuad Sang Penyu atau berhijrah ke kelab lain pada musim hadapan.
Kapten TFC itu mengakui telah menerima tawaran daripada beberapa kelab lain dari Liga Malaysia dan luar negara seperti Arab Saudi, Indonesia, Bahrain dan Oman.
“Pihak pengurusan (TFC) juga telah menawarkan lanjutan kontrak yang bakal berakhir hujung bulan ini. Saya masih belum membuat keputusan dan sedang meneliti kesemua tawaran terbabit,” katanya.
Habib yang berasal dari Bahrain mengakui selesa berada bersama skuad Sang Penyu yang disertai sejak dua tahun lalu.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... ib-berbelah-bahagi/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|