|
Kami mahu tangga ketiga liga - Partiban
PARTIBAN mahu KDA FC menamatkan liga musim ini dengan kemenangan. FOTO KDA FC
Alor Setar: Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), J Partiban tekad memberi aksi terbaik bagi memastikan kemenangan ke atas Sabah FC pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Ahad ini.
Kemenangan itu cukup penting bagi membolehkan Sang Kenari yang mengumpul kini 53 mata, menduduki tangga ketiga liga dan mengatasi Sabah FC yang kini mengekori rapat dengan 51 mata.
Menurut Partiban, semangat pasukannya kini pulih selepas tewas 0-1 kepada Selangor FC pada aksi di Stadium Darul Aman, 2 Disember lalu.
"Kami sudah melupakan kekalahan kepada Selangor FC yang menyebabkan kami gagal merebut tangga kedua liga.
"Impian kami masih ada dan berazam bangkit menebus kekecewaan itu dengan kemenangan ke atas Sabah FC, Ahad ini.
"Walaupun keputusan seri sudah memadai untuk kami menduduki tangga ketiga liga, kami mahu menang sebagai penutup terbaik musim ini," katanya.
Pemain kelahiran Ipoh berusia 31 tahun yang pernah mewakili Perak, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur itu menjangkakan pertembungan Ahad ini pasti sengit.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... etiga-liga-partiban
|
|