View: 5348|Reply: 0
|
[Kelantan]
Berlapang dada terima surat pindah ke pedalaman Kelantan
[Copy link]
|
|
DR. Muhammad Mahir Che Hassan (tiga dari kanan) semasa turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
GUA MUSANG: Dua tahun lalu perasaan pegawai perubatan Dr. Muhammad Mahir Che Hassan, 29, bercampur-baur dan disulami perasaan sedih sebaik sahaja menerima surat penempatan bertugas di pedalaman Kelantan iaitu Klinik Kesihatan Jerek di sini.
Namun, pemuda itu sebaliknya ‘bangkit’ melawan perasaan tersebut dan menganggap ia sebagai takdir serta cabaran yang perlu diharungi sebagai pegawai perubahan.
Benarlah pepatah orang tua-tua dulu ‘tak kenal, maka tak cinta’ perasaan duka itu akhirnya bertukar menjadi gembira apabila dia makin serasi dengan persekitaran tersebut.
“Bagi saya, bertugas di mana-mana pusat kesihatan atau hospital ada cabaran yang tersendiri. Semasa bertugas di hospital besar, hampir kesemua kemudahan kesihatan ada dan lengkap untuk merawat pesakit.
“Namun…di klinik kesihatan yang dinaiktaraf dari klinik desa di kawasan pedalaman ini, kemudahan perubatan agak terbatas,” katanya ketika bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dr. Muhammad Mahir memberitahu, kebiasaannya jika berlaku kes kecemasan yang serius pesakit perlu dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan memakan masa hampir dua jam 30 minit.
Katanya, bagaimanapun jika kes-kes yang tidak serius, pesakit boleh dihantar ke Hospital Gua Musang sejauh 40KM dari tempat bertugas.
“Sepanjang bertugas di sini, antara cabaran utama saya adalah untuk merawat pesakit dengan kemudahan klinikal yang amat terhad tanpa disokong dan berpandukan ujian-ujian makmal serta radiologi.
“Semua itu biasa digunakan oleh doktor-doktor di hospital dan klinik kesihatan bandar yang mempunyai peralatan lengkap. Jika saya tersalah memberi rawatan awal atau terlambat merujuk, ia boleh membahayakan nyawa pesakit,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan pegawai perubatan baru yang bertugas di kawasan pedalaman Dr. Muhammad Mahir berkata, mereka perlu mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin.
“Fikirkan perkara positif yang Allah cuba berikan kepada hidup kita yang pasti tidak dapat kepada semua orang. Pengalaman di pedalaman terutamanya cara survival hidup di dalam masyarakat kampung yang jauh dari bandar, mengenali budaya Orang Asli, cara ikhtiar hidup.
“Paling seronok dapat menikmati kesegaran udara dan buah-buahan bila tiba musim buah pasti menjadi satu memori hidup yang tidak akan dilupakan seumur hidup. Berbuat baik dan bermesralah dengan penduduk kampung kerana dengan cara inilah kita dapat menyesuaikan diri dan proses asimilasi kehidupan dapat dilakukan,” katanya. -UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... pedalaman-kelantan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|