|
AKSI antara Al Hilal dan Mazandaran dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. FOTO AFP
Riyadh: Juara empat kali Al Hilal, menamatkan kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia tanpa kalah selepas mencatat kemenangan 2-1 di tempat sendiri menentang wakil Iran, Nassaji Mazandaran.
Kelab Arab Saudi, yang muncul naib juara tahun lalu itu, sudah pun layak ke pusingan 16 terakhir sebagai juara Kumpulan D, membolehkan pengurus, Jorge Jesus berpeluang meletakkan penyerang, Aleksandar Mitrovic dalam kesebelasan utama dan pemain tengah, Sergej Milinkovic Savic berada di bangku simpanan.
Ruben Neves, pula tidak berada dalam skuad, dengan bintang Brazil Neymar tidak bermain bagi sebahagian besar musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) dan meniskus di lutut kirinya semasa tugasan antarabangsa pada Oktober.
Bagaimanapun, Al Hilal hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menentang Nassaji Mazandaran di Stadium Putera Faisal bin Fahd, apabila pemain sayap Michael menyudahkan hantaran lintang Mohammed Al Breik.
Al Hilal, yang menggantikan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou pada separuh masa, menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-54 hasil sepakan separuh voli yang bijak daripada pemain Terbaik Asia, Salem Al Dawsari.
Mitrovic dan Milinkovic Savic dimasukkan selepas sejam aksi berlangsung, namun ia tidak cukup untuk menghalang Nassaji Mazandaran daripada meledak jaringan menarik 13 minit sebelum tamat.
Mahmoud Ghaed Rahmati mengurangkan defisit dengan sepakan voli selepas melepasi pemain pertahanan Al Hilal, Kalidou Koulibaly.
Dalam perlawanan lain kumpulan itu, Navbahor dari Uzbekistan menempah tempat ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 2-1 menentang Mumbai City di Pune.
Sementara itu, Navbahor mara dengan menduduki tempat kedua, Mumbai menamatkan kempen mereka dengan enam kekalahan daripada enam perlawanan.
Dalam Kumpulan B, pasukan Uzbekistan, Nasaf Qarshi layak ke pusingan kalah mati dengan seri 2-2 menentang wakil Qatar, Al Sadd dalam perlawanan yang menampilkan satu gol untuk setiap pasukan pada masa kecederaan.
Kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sharjah, pula jatuh ke tangga ketiga dan sekali gus terkeluar dari kejohanan selepas mereka melepaskan kelebihan gol pendahuluan untuk tewas 1-2 kepada wakil Jordan, Al Faisaly di Amman.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... hilal-sukar-digugat |
|
|
|
|
|
|
| |
|