SUNGAI PETANI: Sebuah kilang kayu di Bukit Selambau, di sini dilaporkan terbakar hari ini, disusuli dengan letupan bunga api.
Video berhubung kebakaran membabitkan kilang itu turut ditular di media sosial ketika ini sehingga mengakibatkan letupan (bunga api) berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azhari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.57 malam tadi.
Beliau berkata, 11 anggota dari BBP Aman Jaya yang turut dibantu BBP Sungai Petani, dua anggota jentera tangki masing-masing dari BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan dari talian MERS 999 memaklumkan panggilan kecemasan kebakaran kilang.
"Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PGO) melaporkan terdapat sebuah kilang terbakar dan berlaku letupan bunga api di kawasan kebakaran yang berkeluasan anggaran 300 meter X 200 meter," katanya di sini hari ini.
Azhari berkata, operasi pemadaman sedang dilakukan ketika ini dan maklumat lanjut akan menyusul.