Alor Setar: Kemalangan mengakibatkan
dua beranak maut di Jalan Kolon, Pokok Sena dipercayai berlaku apabila lori muatan tanah cuba mengelak motosikal masuk ke laluannya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lori tanah terbabit datang dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena manakala tiga kenderaan dari arah bertentangan.
Menurutnya, tiga kenderaan lagi kereta iaitu Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux dari arah Pokok Sena menghala ke Alor Setar.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit membrek untuk mengelak motosikal yang masuk di hadapan laluannya dan menyebabkan ia terbabas ke kanan serta masuk ke laluan bertentangan.
"Akibat itu, lori terbabit melanggar kereta Perodua Bezza sebelum terbalik dan dalam keadaan melintang. Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia dan Toyota Hilux," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Media hari ini melaporkan, dua beranak termasuk ibu hamil lima bulan maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Kolon, Pokok Sena.