CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2186|Reply: 0

[Pulau Pinang] SAR jangka semua mangsa tertimbus di PP ditemui dalam tempoh terdekat

[Copy link]
Post time 29-11-2023 07:14 PM | Show all posts |Read mode
SAR jangka semua mangsa tertimbus di PP ditemui dalam tempoh terdekat


November 29, 2023 @ 6:46pm



Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad menjawab soalan media ketika ditemui lokasi kejadian bangunan runtuh di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong



GEORGETOWN: Kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan rasuk di tapak pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, sudah 80 peratus siap, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang (PP), Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Katanya, kawasan kejadian perlu dibersihkan terlebih dahulu kerana berisiko membahayakan keselamatan anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain memudahkan akses mencari mangsa.

"Operasi SAR yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah bermula dari 10.30 malam tadi dan diteruskan sehingga kini bagi mengalihkan sisa runtuhan.

"Setakat ini (kerja-kerja mengalihkan rasuk dan sisa runtuhan) sudah 80 peratus siap dan jika semuanya selamat usaha mencari baki empat mangsa yang tertimbus akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan kerana keadaan sangat bahaya di situ. Jadi kita perlu pastikan kawasan runtuhan itu benar-benar selamat," katanyadi lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohamed Usuf berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan punca kejadian kerana siasatan masih dilakukan dan pihaknya perlu perincikan segala aspek termasuk siasatan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Identiti empat mangsa yang masih tertimbus sedang dikemas kini, namun maklumat awal, semua mangsa adalah lelaki warga Bangladesh berusia 22 hingga 46 tahun," katanya.

Terdahulu, Mohamed Usuf telah mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meninjau kawasan kejadian.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah pun mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta-merta kepada pemaju, jurutera dan arkitek projek pembinaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam tadi, tiga pekerja warga Bangladesh maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi dilaporkan parah. Mereka sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata empat mangsa berkenaan dikhuatiri sudah tertimbus di dalam lantai simen yang mengeras.

Katanya, ini berikutan ketika kejadian pekerja terbabit sedang melakukan kerja memasang lantai konkrit pada ketinggian 18 meter sebelum rasuk utama tiba-tiba runtuh menyentuh rasuk lain lalu menghempap semua mangsa.

"Kejadian sudah 12 jam berlalu dan simen berkenaan dibancuh pada 9 malam semalam. Kami bimbang cuaca ketika ini yang panas menyebabkan simen itu mula mengeras namun ia bukan berada dalam keadaan mampat," katanya ketika melawat lokasi hari ini.

Zulfahmi berkata setakat 2 petang tadi, sebanyak 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama besi telah dikeluarkan daripada kawasan runtuhan.

"Kita kena lebih berhati-hati untuk keluarkan struktur utama sebab beratnya hampir 30 tan dan takut ia menyentuh dan mengganggu struktur-struktur lain seterusnya mengundang risiko keselamatan di lokasi selain membahayakan anggota penyelamat," katanya.

Beliau berkata Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak bersama Unit Anjing Pengesan (K9) juga sudah bersiap sedia di lokasi untuk dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu adalah kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.
- BERNAMA







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2025 08:59 AM GMT+8 , Processed in 0.464129 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list