|
Seorang peniaga ikan bilis dan udang kering mendakwa pintu rezekinya ditutup oleh pemandu pelancong yang dikatakan berlagak sombong.
Menurut peniaga di pekan Tamparuli, Sabah itu, pemandu pelancong berkenaan seolah-olah cuba mengehadkan masa pelanggan yang melawat ke kedainya tanpa diketahui sebabnya.
Gambar Hiasan: The Star
"Hari ini sekitar jam 5 petang, ada sekumpulan pelancong dari Semenanjung Malaysia dalam anggaran lebih 20 orang tiba ke tempat kami.
"Mereka singgah ke gerai saya untuk membeli ikan bilis, udang kering dan ikan masin. Tiba-tiba ada seorang pemandu pelancong yang terjerit-jerit dengan suara kuat, meminta semua pelawat kembali ke kereta kerana ingin cepat bertolak.
"Dia cuma bagi masa lima minit untuk pelancong membeli di gerai saya, tak berhenti-henti dia membebel. Dia siap pesan dekat saya, tolong jangan buat malu orang Sabah dengan perangai begitu," luahnya kesal.
Peniaga ini cuba mencari jawapan tentang mengapa pemandu pelancong tersebut sanggup menyekat rezekinya.
"Benda ni bukan baru, sudah beberapa kali terjadi sebelum ni, mengapa? Adakah sebab kami menjual makanan laut kering dengan harga berpatutan, tak macam di sesetengah tempat lain yang mencekik darah?
"Kami tiada istilah 'mark up' harga, kami jual barang kepada pelancong sama dengan harga untuk orang tempatan, kerana kami berpegang kepada prinsip bahawa rezeki itu semua sudah diaturkan Allah.
"Syukur Alhamdulillah, walaupun dengan masa lima minit yang diberikan itu, ada juga terselit rezeki untuk kami. Cuma kami agak kecewa dengan cara pemandu pelancong tu melayan penumpang mereka.
"Sampaikan tadi ramai pelancong yang berubah air muka dan mengeluh apabila dijerit-jerit untuk cepat masuk ke kereta sedangkan mereka masih membeli," cerita peniaga tersebut.
Tambahnya lagi, dia berasa kasihan melihat pelancong-pelancong tersebut yang dipaksa untuk terburu-buru walaupun ketika sedang bercuti.
"Kesian tengok mereka semua tergesa-gesa lari masuk kereta. Sangat tidak menyeronokkan percutian sebegitu, kena jerit, seperti budak-budak pula dilayannya.
"Sedangkan kita sendiri kalau nak beli ikan basah di pasar pun akan pilih betul-betul. Kami faham setiap travel agent ada jadual masing-masing, tapi bagilah peluang untuk mereka membeli, agar dapat kepuasan tu.
"Semoga Allah sentiasa meluaskan rezeki buat semua peniaga yang sedang berjuang selama ni," kata peniaga tersebut menutup bicara.
Di ruangan komen, segelintir warga maya berpendapat kemungkinan pemandu pelancong tersebut sudah mempunyai tempat menjual makanan laut kering yang akan dibawa mengikut jadual.
"Mungkin pemandu pelancong tu sudah ada tempat khas untuk dia bawa penumpang berbelanja dan dia akan menerima komisen daripada penjual tersebut.
"Kasar betul ya dengan orang tempatan, kalau dengan mat salih mesti berlembut je.
"elancong ni adalah antara mereka yang membawa rezeki ke tempat kita, tak wajar dilayan sebegini biadab. Jangan sampai negeri kita diboikot.
"Mungkin kena jerit, sebab pelancong ni kadang ada yang degil tak dengar cakap, benda nak kejar masa. Cuba tengok daripada kedua-dua belah pihak," kata sebahagian warga maya. -CARI
Sumber: mStar |
|