![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/13ntUSM_1699779521.jpg)
Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn Bhd, yang terbabit dalam pengeluaran satelit kecil dan perkhidmatan IoT, mencipta sejarah dengan pelancaran satelit kecil piko pertama Malaysia, SpaceANT-D, pada jam 2.47 pagi ini. NSTP/Ihsan USM
NIBONG TEBAL: Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn Bhd (SpaceIn) melakar sejarah dengan pelancaran satelit kecil piko pertama Malaysia dikenali SpaceANT-D.
Pelancaran jam 2.47 pagi waktu tempatan itu menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr Norilmi Amilia Ismail, berkata SpaceANT-D akan dilepaskan daripada 'deployer' (pengerahan) 'Alba Orbital' dalam masa tujuh hingga 10 hari lagi sebelum isyarat pertama satelit dihantar ke stesen bumi.
"SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter (cm) dan berat kurang dari 250 gram (g) ini akan menunjukkan demonstrasi misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT.
"Ia dinamakan SpaceANT-D (Space Advance Network Technology) berikutan satelit ini akan menerima data daripada sensor di bumi sebelum data dihantar semula ke stesen bumi.
"Dari stesen bumi, data akan dihantar ke 'cloud' untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelasnya, misi itu adalah hasil usaha di antara USM dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) yang menandakan pencapaian penting ke arah Malaysia Space Exploration 2030.
"Pelancaran satelit ini juga menunjukkan komitmen USM dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industri angkasa di Malaysia.
"SpaceIn bercita-cita untuk memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia dan kami percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan," katanya.