Selepas sembilan bulan berpisah dengan Shuk Sahar, bekas isteri pelawak dan pengacara tersebut, Rossa Sera, dikhabarkan telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan sekali gus memberi bayangan bakal menamatkan zaman jandanya tidak lama lagi.
Bayangan itu diberikan oleh Sera atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di akaun Instagramnya hari ini.
Menerusi video tersebut, Sera yang memakai persalinan berwarna merah hati dilihat sedang duduk di pelamin berdekorasi ringkas dalam sebuah majlis yang dipercayai berlangsung dalam suasana tertutup.
Menerusi video itu, Sera juga berkongsi paparan jari manisnya disarung sebentuk cincin oleh seorang wanita dipercayai berperanan sebagai ibu mentua.
Juga menerusi hantaran yang sama, Sera telah memuat naik sekeping gambar dirinya bersama seorang jejaka yang tidak dipaparkan wajah sebenarnya.
Bagaimanapun, di ruangan komen, ada kalangan pengikut menganggap pertunangan tersebut tidak benar-benar berlaku.
Ini kerana, lazimnya majlis pertunangan memerlukan pasangan lelaki dan rombongannya berkunjung ke kediaman wanita dan bukan sebaliknya.
Justeru, ada yang berpendapat, Sera sengaja mencetuskan ‘propaganda’ menerusi perkongsian video tersebut.
Perkara itu ‘dipecahkan’ oleh netizen sejurus meneliti perkongsian video Sera di Instagram Stories (IGS) yang menunjukkan dirinya berada dalam kenderaan dan bukannya berada di dalam kediaman sendiri.
Dalam pada itu, percubaan menghubungi Sera juga menemui jalan buntu apabila wanita tersebut tidak memberikan respons.
Untuk info, Shuk dan Sera berpisah secara sah selepas pengacara tersebut melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.
Sumber: Utusan
|