BALING: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan 14 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Padang, di sini, malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Md Daud, berkata semua mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas, dua wanita dewasa, empat kanak-kanak dan tujuh individu dewasa.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu pada jam 8.34 malam dan sepasukan anggota dari BBP Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setiba di lokasi, paras air didapati setinggi 0.6 meter dan lapan rumah terjejas akibat banjir yang membabitkan 14 mangsa daripada empat keluarga.
"Semua mangsa dipindahkan ke rumah JKK Kampung Padang sementara waktu," katanya.
Mohd Jamil menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah supaya berhati-hati jika hujan lebat dan sedia berpindah apabila paras air semakin meningkat.