SUNGAI PETANI: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini dengan menempatkan 11 mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas akibat ribut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad, berkata PPS Taman Gurun Jaya itu dibuka jam 7.40 malam tadi.
Beliau berkata, antara lokasi terjejas ribut adalah di Kampung Sungai Badak (dua rumah), Kampung Batu 4 (satu), Taman Gurun Jaya (enam) dan satu di Kampung Linton Batu 2 di Mukim Gurun.
"Sebuah rumah di Kampung Baru Bedong dalam Mukim Semeling turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azahar berkata, ribut berserta hujan lebat dan kejadian pokok tumbang dilapor bermula jam 5.30 petang di daerah Kuala Muda.
"Sebahagian harta benda mangsa dilaporkan rosak dalam kejadian itu. APM mengenal pasti punca kejadian dan menasihatkan mangsa berpindah ke PPS ditetapkan.
"Kita turut meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menguruskan maklumat mangsa dengan kerjasama pelbagai jabatan berkaitan," katanya.
Dalam kejadian berasingan di daerah ini, pasukan bomba membantu memindahkan penduduk di beberapa kawasan dilanda banjir kilat di Kampung Raja, Jalan Bakar Sampah, hari ini.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kilaton_1698586419.jpg)
Anggota APM Kuala Muda memantau kawasan yang dilanda banjir kilat di Kampung Raja, Sungai Petani. - FOTO IHSAN APM
Pegawai Keluaran Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Abdul Aziz, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.26 petang.
Beliau berkata, pihaknya membantu memindahkan seorang warga emas berusia 70-an dari rumahnya di Kampung Raja ke kediaman ahli keluarga.
"Dua kawasan iaitu Taman Mutiara Indah dan Taman Songket turut dinaiki air.
"Pemantauan mendapati paras air akibat banjir kilat dilaporkan setinggi 0.6 meter," katanya.