GEORGETOWN: Nelayan di Unit Nelayan Persiaran Gurney, di sini, meminta pihak berkuasa memantau kegiatan mengorek pasir di pesisir pantai perairan itu.
Ia berikutan kegiatan berkenaan didakwa tidak mementingkan aspek keselamatan nelayan dan mendatangkan bunyi bising kerana beroperasi sehingga awal pagi.
Nelayan yang mahu dikenali sebagai Ah Chai, 62, berkata aktiviti mengorek pasir itu sudah dijalankan sejak sekian lama dan kini semakin menghampiri pondok unit nelayan berkenaan iaitu pada jarak kurang 200 meter dari pantai.
Dia mendakwa kapal pengorek pasir itu kerap dilihat beroperasi hingga awal pagi sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di kondominium berhampiran.
"Penduduk di situ pernah mengadu kapal pengorek pasir itu mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman, malah mereka sudah melaporkannya kepada pihak berkaitan.
"Setiap kali saya turun ke laut, pasti akan lihat kapal itu beroperasi dan tidak tahu bila mereka berhenti," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Ah Chai berkata, kapal korek pasir itu juga tidak dipasang dengan lampu menyebabkan nelayan yang pulang dari laut pada awal pagi tidak nampak kedudukannya.
Katanya, pernah berlaku kejadian kapal pengorek pasir itu terlanggar bot nelayan namun mujurlah ia tidak menyebabkan kerosakan serius.
"Kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu lalu dan kapal pengorek pasir itu dipercayai terlanggar sampan nelayan.
"Pemilik sampan sudah membuat laporan kepada pihak berkenaan dan diharap ia dapat diselesaikan dengan baik dan secepat mungkin," katanya yang sudah hampir 25 tahun menjadi nelayan.
Tinjauan mendapati, kapal pengorek pasir berkenaan beroperasi pada jarak yang hampir dengan bot nelayan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, berkata kapal korek di pantai berkenaan adalah milik pihak kontraktor bagi kerja korek pasir untuk projek Pulau Andaman.
Katanya, hasil laporan diterima, insiden perlanggaran kedua-dua bot itu berlaku berikutan kejadian air pasang dan alun air laut yang kuat menyebabkan pergerakan bot nelayan dan kapal korek berlanggar.
"Pihak kontraktor sudah menghubungi nelayan yang terbabit dan hasil perbincangan serta pampasan yang munasabah akan diberikan kepada nelayan itu.
"Rentetan daripada aduan penduduk berkaitan bunyi bising, pihak kontraktor bersetuju dengan masa operasi kerja yang baharu iaitu antara jam 7 pagi hingga jam 7 petang," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, pihak kontraktor juga bersetuju untuk tidak lagi melaksanakan kerja di pesisiran pantai itu.