GEORGETOWN: "Saya kata kalau ada yang minat (jatuhkan saya). Sekiranya ada. Kalau tiada, tidak perlulah bukti," itu respons Ketua Menteri, Chow Kon Yeow susulan dakwaan terdapat cubaan menjatuhkan beliau sebagai teraju kerajaan negeri.
Kon Yeow berkata demikian beberapa jam selepas Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa beliau menyerahkan bukti kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya parti dapat menangani isu itu secara dalaman.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu menjelaskan ucapan asalnya dalam bahasa Mandarin pada satu majlis makan malam ulang tahun ke-25 Persatuan Alumni Heng Ee pada 14 Oktober lalu ditafsir dalam konteks berbeza.
"Tema majlis itu ialah 'hui chao' yang bermakna (kembali ke sarang) dan ia juga merujuk kepada alumni yang kembali pulang menyumbang kepada masyarakat dan orang ramai.
"Jadi, saya sebut 'hui Chow' (kembali kepada Chow). Saya katakan tema itu bermakna buat diri saya kerana sebelum pilihan raya, dikatakan ada percubaan menggantikan saya sebagai Ketua Menteri tetapi ia tidak berlaku.
"Saya katakan perjalanan saya ke hadapan masih mencabar. Jadi, kepada sesiapa yang ingin cipta isu, saya kata janganlah," katanya di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu berkata, beliau mahu memandang ke hadapan dan melihat barisan EXCO yang baharu dilantik memberi kerjasama baik kepada beliau.
"Pasukan sekarang memang bekerjasama. Tak ada masalah langsung dan masih boleh ditambah baik," katanya yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi.