GEORGETOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk menunjukkan bukti mengenai dakwaan dibuat kononnya wujud cubaan untuk menjatuhkan beliau sebagai teraju kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, jika benar dakwaan dibuat Kon Yeow itu, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu perlu menyerahkan bukti kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, supaya ia dapat ditangani parti secara dalaman dengan setegas mungkin.
Beliau berkata, setakat ini Loke sudah pun menolak dakwaan dibuat Kon Yeow bahawa terdapat plot yang diatur daripada dalam dan luar parti untuk menggantikannya.
"Loke dengan tegas memberikan kenyataan bahawa tidak pernah timbul isu bagi menggantikan Chow (Kon Yeow) sebagai Ketua Menteri dan ini sepatutnya menoktahkan ura-ura bagi menjatuhkan beliau yang dimulakan secara tiba-tiba oleh Chow (Kon Yeow) sendiri.
"Sehingga ke hari ini, Chow (Kon Yeow) masih lagi tidak memberikan sebarang bukti bahawa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau.
"Sekiranya Chow (Kon Yeow) mempunyai bukti, seharusnya bukti tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin," katanya melalui kenyataan hari ini.
Desas-desus mengenai usaha menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang timbul sebelum Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos lalu, dengan nama Guan Eng disebut sebagai antara yang akan kembali menerajui pentadbiran Pulau Pinang.
Bagaimanapun Loke ketika mengulas perkara itu memaklumkan tidak tahu menahu mengenainya, selain menyifatkan ia sekadar khabar angin.
Terkini, sebuah akhbar berbahasa Cina turut melaporkan dakwaan Kon Yeow bahawa ada orang 'dalam dan luar DAP' merancang 'mengalahkan beliau'.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata dakwaan tidak berasas dibuat Kon Yeow itu mengenai plot menjatuhkan beliau sebagai Ketua Menteri hanya akan menimbulkan kekeliruan, selain mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir Kerajaan Perpaduan di negeri itu secara cekap, amanah dan telus.