View: 1509|Reply: 0
|
Radja, Ella akhirnya bertentang mata
[Copy link]
|
|
Radja, Ella akhirnya bertentang mata
Kali terakhir Radja mementaskan konsert di Malaysia adalah melalui Konsert Majestic Johor Radja Live In Concert 2023, Mac lalu. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR : Lagu berkonsep 'mash up' berjudul Jujur Takkan Melupakanmu dendangan kumpulan Radja yang dirakam semula Ella pada 2017 menjadi pembuka jalan untuk mereka bertentang mata dengan Ratu Rock itu.
Vokalis Radja, Ian Kasela berkata, biarpun sudah beberapa kali mengadakan persembahan di Malaysia, namun, mereka masih belum kesempatan bertemu Ella.
Justeru, apabila mendapat tahu Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin bakal menjadi penyanyi undangan untuk Konsert Live In Concert: Radja di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 12 November depan, Radja sangat teruja.
"Pemilihan Ella dibuat penganjur konsert, Orange Entertainment International. Apabila mendapat perkhabaran Ella akan muncul dalam konsert ini, kami teruja dan amat mengalu-alukan kehadirannya," katanya kepada BH Online.
Selain Ian, Radja turut dianggotai gitaris, Moldy Kusnadi, manakala Seno Aji bertindak sebagai pemain dram.
Mengakui terpesona dengan alunan lagu Jujur Takkan Melupakanmu dendangan Ella, Moldy melihat pembabitan penyanyi bersuara serak itu sebagai kolaborasi penyatuan dua negara serantau.
"Kolaborasi adalah idea yang sudah lama diidamkan Radja. Ini kerana kami teringin mahu berduet dengan Ratu Rock Malaysia ini.
"Dua lagu hit kami yang dirakam semula Ella sangat indah didengar. Atas alasan ini, kami jadikannya sebagai tema konsert.
"Kami juga mahu konsert ini sebagai jalinan perpaduan muzik antara Indonesia dan Malaysia yang akrab sejak dahulu lagi," katanya.
Sementara itu, demi peminat tercinta dan menganggap Malaysia sebagai rumah kedua, Radja sanggup mengetepikan rasa trauma selepas insiden diugut bunuh, beberapa bulan lalu.
"Sebagai manusia biasa, pasti wajar ada rasa trauma... Ini sangat mengganggu fikiran.
"Namun, kami mahu lebih berfikiran positif. Ada hal yang jauh lebih penting daripada insiden diugut ini.
"Malaysia adalah rumah kedua kami. Jadi, kenapa kami perlu tinggalkan rumah sendiri hanya kerana 'masalah dalaman'.
"Saya mahu peminat terus setia bersama Radja. Dalam ruangan komen sendiri peminat sudah tidak sabar bertemu kami di konsert," katanya.
Bagi memastikan keselamatan kumpulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Orange Entertainment International, Datuk Fadzli Idrus memberi jaminan kawalan keselamatan diperketatkan.
"Kawalan keselamatan terhadap Radja akan dipertingkatkan di lokasi konsert dan hotel. Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan membantu.
"Selain itu, kami juga akan pastikan Radja mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.
Kali terakhir Radja mementaskan konsert di Malaysia adalah melalui Konsert Majestic Johor Radja Live In Concert 2023, Mac lalu.
Radja juga dilaporkan sudah memaafkan pihak yang membuat ancaman, sekali gus melupakan apa yang berlaku.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... nya-bertentang-mata
|
|
|
|
|
|
|
| |
|