View: 2646|Reply: 0
|
[Melaka]
Bas dipandu mengundur disyaki langgar syarat kelas lesen
[Copy link]
|
|
MUHAMMAD FIRDAUS Shariff mengadakan sidang akhbar di Pejabat JPJ, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil semula wakil syarikat dan pemandu bas yang klip videonya tular memandu mengundur ke belakang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sejauh 1 kilometer (km) kerana terlepas susur keluar ke Simpang Ampat, Alor Gajah dekat sini, baru-baru ini.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pihak terbabit dipanggil untuk memberi keterangan kerana disyaki menjalankan perkhidmatan bas pelancong dan melanggar syarat kelas lesen.
Menurutnya, JPJ juga telah merujuk insiden itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat dan pemandu terlibat.
“Tindakan diambil bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Darat (APAD) 2010. Pemilik syarikat dan pemandu telah hadir untuk siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan tiga saman telah dikeluarkan.
“Tiga saman dikeluarkan di bawah Seksyen 79 (2) kerana tidak mematuhi atau mengabaikan isyarat lalu lintas dan Kaedah 15 (D) Kaedah-kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 kerana tidak memastikan keselamatan penumpang semasa berada di dalam atau semasa menaiki atau menurun kenderaan.
“Satu lagi saman yang dikeluarkan ialah di bawah Kaedah 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu memandu di lorong kecemasan. Selain itu, kita akan memanggil semula pemilik dan pemandu selepas mendapati pihak terbabit menjalankan perkhidmatan bas pelancong kerana melanggar syarat kelas lesen,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Kenderaan Komersial Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil di sini, semalam.
Dalam rakaman video berdurasi 43 saat yang tular sebelum ini menerusi media sosial, ia memaparkan bas berkenaan mengundur ke belakang sejauh kira-kira 1km.
Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 111 daripada 678 kenderaan komersial yang diperiksa telah diambil tindakan dalam Op Khas bermula 1 Oktober dan berakhir hujung bulan ini.
Menurutnya, sebanyak tiga kenderaan telah disita termasuk satu dalam operasi dijalankan semalam di hadapan Pejabat JPJ Melaka.
“Tiga kenderan yang disita dua daripadanya atas kesalahan gagal mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan satu lagi melibatkan warga Indonesia memandu tanpa lesen yang sah,” ujarnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... syarat-kelas-lesen/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|