|
FATI masih dalam proses menyesuaikan diri dengan skuad Brighton selain belum mencapai tahap kecergasan terbaik. - AFP
BRIGHTON – Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi berkata, beliau perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan penyerang, Ansu Fati berada dalam keadaan cergas menjelang aksi Liga Europa menentang Olympique Marseille di Stade Velodrome tengah malam ini.
Beliau menjelaskan, pemain pinjaman dari Barcelona itu masih belum berada pada kecergasan terbaik selain sedang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan serta corak permainan Brighton.
Skuad The Seagulls terdesak untuk mendapatkan kemenangan ke atas Marseille selepas mereka dibelasah 1-6 oleh Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park Sabtu lalu.
“Memang perancangan kami adalah untuk dia (Fati) mendapatkan minit permainan secara beransur-ansur sejak aksi menentang Chelsea. Kami sedang bekerja keras untuk pastikan dia berada pada kecergasan terbaik.
“Jika mana-mana pemain terlepas sesi latihan gara-gara kecederaan, ia adalah sesuatu yang merugikan. Bagaimana mahu capai potensi jika tidak dapat menyertai latihan, jadi kami mahu uruskan pemain secara teratur,” kata De Zerbi.
Dalam pada itu, beliau juga perlu menilai tahap kecergasan semua pemain sebelum memilih kesebelasan terbaik memandangkan Brighton belum dapat membiasakan diri berdepan dua perlawanan dalam tempoh tiga hari.
“Apabila saya memilih kesebelasan utama, saya mengambil kira semua aspek termasuk siapa yang sudah bermain pada aksi terdahulu. Saya tidak boleh ambil risiko kerana saya mahu elak sebarang kecederaan,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... ah-kecergasan-fati/ |
|