|
CYBERJAYA: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merampas pelbagai produk perubatan yang tidak berdaftar bernilai RM500,000.
Ketua Eksekutif MDA, Dr P Muralitharan berkata semua peranti perubatan itu dirampas dalam lima serbuan sepanjang tahun ini.
Katanya, empat peranti perubatan paling banyak dirampas sepanjang operasi berkenaan adalah kondom, kanta sentuh, alat pemantau tekanan darah serta sarung tangan pakai buang.
"Terbaru kita jalankan serbuan pada 13 September lalu membabitkan sebuah syarikat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dengan nilai rampasan kira-kira RM10,000.
"Serbuan dilakukan selepas kita menerima aduan pada 6 Julai lalu dan hasil siasatan mendapati syarikat ini berdaftar dengan MDA tetapi mengedarkan peranti perubatan tidak berdaftar dalam pasaran negara ini.
"Berikutan itu, MDA mengambil tindakan menggantung lesen serta mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan sebarang pengedaran peranti perubatan dari syarikat berkenaan," katanya dalam sidang media berkaitan operasi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muralitharan berkata walaupun sudah menggantung lesen syarikat berkenaan, risikan yang diadakan pada 16 Ogos lalu mendapati ia gagal mematuhi arahan berkenaan serta masih menjual peranti tidak berdaftar itu.
"Semasa serbuan, kita merampas tujuh kotak sarung tangan pakai buang, picagari tanpa jarum (33 kotak), lanset darah (90 kotak), spatula penekan lidah (146 kotak), satu unit gel ultrasound, pembalut luka (spandex crepe bandage) (1,098 unit) dan jarum pakai buang (tiga kotak)," katanya.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta 737 kerana meletakkan peranti perubatan dalam pasaran semasa lesen syarikat ketika tempoh penggantungan.
Katanya, jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Dr Muralitharan berkata pihaknya turut memberi amaran kepada klinik yang membeli peranti tidak berdaftar dengan syarikat berkenaan.
"Klinik tidak perlu mendaftar dengan MDA, namun mereka perlu memastikan peranti yang dibeli itu sudah mendapat pengesahan daripada MDA. Disebabkan itu kita sudah mengeluarkan arahan berkaitan hal berkenaan," katanya.
Dr Muralitharan berkata, selain di Kuala Lumpur, operasi turut dilakukan di Sungai Petani dengan nilai rampasan sebanyak RM3,000 diikuti, Batu Pahat (RM300,000), Puchong (RM111,000) dan Johor (RM20,000).
Mengenai keseluruhan operasi yang dijalankan, beliau berkata pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap 16 syarikat di mana 14 digantung lesen dengan sembilan daripadanya sudah dikembalikan selepas mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala dua lagi syarikat dibatalkan lesen.
https://www.bharian.com.my/berit ... n-rm500000-dirampas |
|