|
TEN HAG percaya dua kekalahan berturut-turut pada saingan UCL dan kali ketiga di Old Trafford tidak akan menyebabkan kedudukannya sebagai pengurus tergugat. - AFP
MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag enggan menekan butang panik selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Old Trafford awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Red Devils meraih gol menerusi dua jaringan Rasmus Hojlund, manakala pasukan pelawat meledak hasil sentuhan Wilfried Zaha, Muhammed Kerem dan Mauro Icardi untuk meraih tiga mata penuh.
Keputusan tersebut memberikan tekanan tambahan buat Ten Hag selepas United tewas enam perlawanan dalam 10 aksi kompetitif pada semua kejohanan buat kali pertama sejak musim 1986-1987.
Namun, Ten Hag mengakui statusnya selaku pengurus pasukan masih selamat walaupun prestasi tidak menentu yang dicatatkan oleh barisan pemain tidak konsisten sejak awal musim ini.
“Apa yang kita pamerkan pada musim lepas adalah sesuatu yang luar biasa, tetapi harus diingat ini adalah projek jangka panjang dan buat masa ini, ada ruang serta kelemahan yang perlu diperbaiki pemain.
“Namun, saya percaya pemain akan bangkit semula dan berjuang demi memastikan pasukan dapat kembali ke landasan sebenar,” katanya.
Sementara itu, pengendali import itu turut mempertahankan penjaga gol, Andre Onana selepas dibolosi 20 jaringan dalam 10 aksi terakhir selain turut menjadi punca kekalahan pasukan semalam.
“Tiada alasan tetapi mungkin kami tidak dapat membariskan benteng terbaik sehingga terpaksa meletak Sofyan Amrabat sebagai bek kiri. Apa yang pasti, saya tidak risau dengan prestasi Onana kerana dia adalah penjaga gol yang hebat,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... akin-masih-selamat/ |
|