|
Imej gerakan gol Liverpool jaringan Luis Diaz yang tidak disahkan pengadil dan VAR kerana ofsaid ketika menentang Tottenham di London Sabtu lalu. – Foto Sky Sports
LONDON: Liverpool dilaporkan meminta audio komunikasi antara pegawai perlawanan ketika kalah 2-1 di tangan Tottenham Sabtu lalu selepas mereka gagal mengubah kesilapan tidak mengesahkan gol Luis Diaz.
Aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London terikat 0-0 ketika insiden pada minit ke-34 itu.
Penyerang Colombia, Diaz berjaya meledak gol tetapi dibatalkan kerana ofsaid. Video bantuan pengadil (VAR) bagaimanapun gagal mengubah keputusan itu.
Susulan itu, Liverpool mengalami kekalahan pertama mereka musim ini.
PGMOL (Professional Game Match Officials Limited), badan induk bagi pengadil, mengeluarkan kenyataan pada Sabtu memperakui satu "kesilapan ketara" dilakukan.
Liverpool kemudian mengeluarkan kenyataan mereka hari berikutnya menyatakan "integriti sukan dijejaskan."
Kelab itu berkata, mereka akan "meneroka pelbagai pilihan yang ada memandangkan keperluan yang jelas untuk peningkatan dan penyelesaian."
Kini difahamkan mereka secara rasmi meminta audio perbualan antara pegawai dari PGMOL.
Pengadil bantuan video Darren England dan pembantu VAR di Tottenham, Dan Cook diketepikan daripada tugasan bagi baki hujung minggu susulan kesilapan itu.
England dan Cook menjadi sebahagian daripada pasukan pegawai yang mengendalikan perlawanan antara Sharjah dan Al-Ain di Emiriah Arab Bersatu pada Khamis lalu, tiba di England pada pagi Jumaat.
Permintaan untuk pegawai England bagi mengendalikan perlawanan domestik di luar negara disalurkan kepada Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, dengan kebenaran bagi pegawai untuk melakukan perjalanan diberikan bersama oleh FA dan PGMOL. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ool-minta-audio-var |
|