|
KETAJAMAN sentuhan penyudah Kane terus menjadi sandaran Bayern. FOTO AFP
Berlin: Skuad Bayern Munich yang dibelenggu masalah kecederaan bertandang ke Copenhagen untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Rabu.
Dua pemain utama, Serge Gnabry dan Matthijs de Ligt cedera dan tersisih ketika Bayern seri 2-2 di RB Leipzig pada aksi Bundesliga, hujung minggu lalu.
Gnabry akan diketepikan kerana patah lengan manakala De Ligt turut dijangka tersisih.
Selain dua pemain itu, dua bek tengah, Dayot Upamecano dan Kim Min-jae turut cedera dan pihak atasan Bayern mungkin mula faham keluhan pengurus, Thomas Tuchel mengenai kekurangan skuad besar bimbingannya.
Bayern kekal belum kalah dalam liga, Piala Jerman dan UCL, musim ini tetapi memiliki tabiat kerap dibolosi pasukan yang lebih baik.
Juara Jerman itu dibolosi tiga kali ketika menentang RB Leipzig dan Manchester United pada musim ini, selain bolos dua kali menentang pendahulu liga, Bayer Leverkusen dan sekali lagi dengan Leipzig.
Walaupun Bayern hadir ke Copenhagen sebagai pasukan pilihan, aksi pertengahan minggu itu bakal menguji kekuatan pasukan terutama wibawa pemain simpanan apabila mereka berjuang untuk merebut semua piala musim ini.
Sekalipun jendela perpindahan pemain sebelum ini menyaksikan mereka membeli kapten England, Harry Kane; Kim yang juga pemain pertahanan terbaik Serie A serta Konrad Laimer, Bayern turut melepaskan beberapa pemain.
Ia termasuk pemergian pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard dan Lucas Hernandez; pemain tengah, Ryan Gravenberch dan Marcel Sabitzer dan bek kanan, Josip Stanisic.
Sebaik jendela perpindahan ditutup awal September, Tuchel menyifatkan skuadnya agak kurus dan kecil.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ayern-ke-copenhagen |
|