|
KAI Havertz menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Bournemouth. FOTO Agensi
London: Mikel Arteta gembira kemenangan besar diraih Arsenal namun akui lebih gembira apabila melihat Kai Havertz menemui sentuhan jaringan selepas gagal meledak sebarang gol dalam 10 penampilannya bersama kelab itu.
Jelas Arteta, kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth cukup positif dalam misi menghambat Manchester City di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Kegembiraanya bertambah lagi apabila melihat Havertz meledak gol pertama musim ini biarpun ia hanyalah sepakan penalti daripada pemain yang berasal dai Jerman itu.
"Saya amat gembira di atas kemenangan ini, tetapi lebih gembira apabila melihat kualiti yang dipamerkan barisan pemain hari ini (malam tadi)," kata Arteta pada sidang media selepas aksi itu.
"Ia membuktikan pemain kini berada pada tahap terbaik, malah pemain seperti Havertz turut meledak. Saya sangat gembira seperti mana yang dirasai penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan selama ini," katanya.
Empat gol Arsenal diraih menerusi Bukayo Saka pada minit 17 dan sepakan penalti Martin Odegaard seminit sebelum babak pertama berakhir untuk mendahului 2-0.
Bersambung separuh masa kedua, kelebihan itu digandakan hasil sepakan penalti Havertz di minit 53 dan jaringan Ben White pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menjadikan persaingan merebut kedudukan teratas liga menjadi lebih sengit menjelang kunjungan Manchester City ke laman Arsenal hujung minggu depan, di mana The Gunners kini hanya dibezakan satu mata dengan City yang juga pendahulu liga.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -temui-sentuhan-gol |
|