|
GUARDIOLA (kanan) bantu Man City meraih treble musim lalu. FOTO AFP
London: Pep Guardiola berkata adalah satu kesilapan besar untuk memikirkan memenangi trofi di awal musim ini selepas Phil Foden berkata Manchester City menyasarkan memenangi empat kejuaraan.
City meraih gelaran treble yang cukup bersejarah musim lalu selepas memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Pemain sayap England, Foden, 23, berkata, kelab itu menyasarkan untuk mengulangi gelaran treble atau empat trofi dengan menambah Piala Liga sebagai sasaran terbaru.
City memulakan musim dengan prestasi cemerlang apabila memenangi kesemua enam perlawanan untuk mengungguli Liga Perdana dan turut memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara dengan bergaya.
"Phil sangat muda. Dia akan faham apabila tiba masanya. Memang bagus untuk mempunyai cita-cita itu tetapi saya selalu katakan kepada pemain bahawa 'cita-cita adalah perlawanan seterusnya'.
"Jadi mungkin pada April, Mei jika anda masih berada dalam semua pertandingan, anda boleh mula memikirkannya.
"Tetapi sekarang pada penghujung September untuk memikirkan kejuaraan adalah satu kesilapan besar.
"Jika dia percaya kepada apa dikatakannya itu, saya bukan individu yang mahu dia berfikir sebaliknya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... kejuaraan-guardiola |
|