|
Pemain Manchester United, Hannibal Mejbri dikasari pertahanan Burnley, Jordan Beyer pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, Burnley awal pagi tadi. – Foto REUTERS
BURNLEY, England: Erik ten Hag percaya kemenangan 1-0 Manchester United di Burnley menjadi titik tolak kebangkitan dalam permulaan musim yang bermasalah ketika jaringan memukau Bruno Fernandes menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut awal pagi tadi.
Kapten United itu menghasilkan detik gol kemenangan menakjubkan apabila dia menyambut hantaran jauh Jonny Evans dengan satu rembatan voli sejurus sebelum rehat.
Kemenangan itu melonjakkan Red Devils ke tangga kelapan dalam carta Liga Perdana Inggeris dan mengendurkan tekanan yang dihadapi Ten Hag serta pemainnya.
"Ini hanya satu kemenangan tetapi apa yang kami saksikan adalah bersatu dan berjuang - semangat yang sejati dalam bilik persalinan," kata Ten Hag.
"Apa yang kami perhatikan apabila anda bertahan dengan 11 pemain dan melakukannya bersama, ia terlalu sukar untuk bermain menentang pasukan Manchester United ini."
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag bersalaman dengan pemain pertahanan Jonny Evans (kiri) selepas wisel penamat aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley di Turf Moor, awal pagi tadi. – Foto AFP
Krisis kecederaan United bermakna pemain berusia 35 tahun, Evans bermula di pertahanan tengah buat kali pertama bagi tempoh keduanya di kelab itu.
Pemain Ireland Utara itu memainkan peranan penting di segenap penjuru padang, selain mengumpan bagi gol mengagumkan Fernandes, dia turut dinafikan satu gol dan membantu mengemudi benteng United yang dibolosi 10 kali dalam tiga aksi terakhir mereka.
"Ini malam terbaik dalam kehidupan saya," kata Evans, yang memenangi tujuh kejuaraan utama dalam tempoh pertamanya sebagai pemain di Old Trafford.
"Saya menikmati setiap saat daripadanya. Ia perlawanan ke-200 saya buat Manchester United, saya tidak pernah terfikir akan mencapai angka itu." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... g-mula-nampak-sinar |
|