|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kandaq_1695454134.jpg)
MOHD Adly (tengah) bersama pekerja Hameediyah dan pengunjung Nasi Kandaq Fest yang berlangsung di Sunway Putra Mall hari ini. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Kuala Lumpur: 10 'lejen' jenama nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor yang berusia puluhan tahun berkampung selama dua hari bermula hari ini sempena Nasi Kandaq Fest yang diadakan di Sunway Putra Mall, di sini.
Antara yang terbabit adalah Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro, Hameediyah Restaurant, Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed), Restoran Kudu Bin Abdul dan Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru.
Selain itu, turut serta ialah Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng, Sadam Nasi Kandar, Sithique Nasi Kandar, Nasi Kandaq Talam Johor Bahru dan Yusuf Restaurant.
Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal berkata, hasrat untuk menganjurkan festival ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu.
"PKP menjadi punca kita mula menjalin kerjasama dengan Nasi Kandaq Transporter dan Nasi Kandaq Hunters yang ketika itu mengambil pesanan dan membawa makanan kegemaran rakyat Malaysia itu dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
"Selepas PKP berakhir, kami mula mengadakan perbincangan dengan lebih serius untuk membawa terus vendor terbaik nasi kandar ke Kuala Lumpur dan himpunkan mereka di Sunway Putra Mall, hari ini," katanya.
Menurutnya, FriedChillies merancang untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2.0 sekiranya, acara sulung ini mendapat sambutan ramai.
Sementara itu, Pengasas Nasi Kandaq Hunters (NKH) Badrol Izam berkata, mereka meletak sasaran 10,000 hingga 12,000 pengunjung ke acara itu.
"NKH amat berbesar hati kerana acara unik ini memberi peluang kepada orang ramai terutama di Lembah Klang untuk menikmati air tangan dari tokoh nasi kandar yang tersohor dari tempat 'original' di Malaysia.
"Kami memang tak sabar untuk mereka menghayati pelbagai rasa kari dan lauk nasi kandar sebab memang semua lejen yang kami himpun di sini, ada kelebihan mereka yang tersendiri. Semua akan berada di bawah satu bumbung," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... di-nasi-kandaq-fest |
|