|
Tok Gajah tempang layan KL City
PEMAIN Sri Pahang FC menjalani latihan di padang Taman Gelora, Kuantan. FOTO Sri Pahang
Kuantan: Masalah kecederaan dan penggantungan membelenggu Sri Pahang FC menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.
Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, kecederaan membabitkan pemain pertahanan, Nur Shamie Iszuan Amin manakala Kevin Ingreso pula digantung perlawanan kerana mengutip dua kad kuning.
"Ketika ini, Shamie mengalami kecederaan pada buku lali ketika latihan dan tidak dapat menghabiskan latihan pada sesi petang semalam.
"Kemungkinan Shamie bermain Ahad ini bergantung kepada tahap kecederaan kerana mengalami bengkak pada buku lalinya.
"Ketiadaan Ingreso yang digantung penggantungan turut memberi kesan tetapi saya masih mempunyai pilihan pemain lain untuk mengisi kekosongan itu.
"Fokus utama ialah memperkasakan jentera serangan dan tengah serta memastikan barisan pemain pertahanan berjaya menyekat lawan," katanya.
Fandi turut mengakui di sebalik fokus pasukan mendapat gol awal, beliau mengingatkan anak buahnya supaya mengekalkan prestasi dan corak permainan sepajang tempoh 90 minit.
Beliau juga seboleh-bolehnya tidak mahu perlawanan itu berlanjutan sehingga ke masa tambahan.
"Sebab itu pemain perlu mendapatkan jaringan awal dan memastikan kemenangan buat pasukan memandangkan KL City berbekalkan satu gol dan mereka juga mahu menambah jaringan untuk mengukuhkan kedudukan.
"Di sebalik misi jaringan awal itu, pemain tidak boleh melakukan sebarang kesilapan," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... mpang-layan-kl-city
|
|