|
Harimau Malaya dah capai tahap antarabangsa
HARIMAU Malaya nyaris malukan China di hadapan penyokong mereka sendiri. FOTO FAM
Kuala Lumpur: Kenaikan dua anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menandakan bahawa prestasi skuad Harimau Malaya kini semakin meningkat dan mula mencapai tahap antarabangsa.
Menurut jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, kejayaan menghuni tangga ke-134 berbanding 136 sebelum ini adalah hasil keputusan positif diraih ketika mengikat dua pasukan di ranking 100 atas dunia iaitu Syria (94) dan China (80).
"Pasukan negara dah tak boleh pandang ke belakang lagi, kita dah tak boleh lawan pasukan seperti Bangladesh, Bhutan, Maldives dan Guam dah.
"Kita kena jumpa lawan yang ranking lebih tinggi bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan apabila berjumpa dengan lawan kuat.
"Saya anggap jurulatih Kim Pan-gon sudah lakukan tugasnya dengan baik, dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Kelmarin, Fifa mengesahkan ranking Malaysia melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan 134 dunia ketika ini.
Lonjakan dua anak tangga itu pastinya didorong oleh kejayaan skuad kendalian Pan-gon yang hampir mengejutkan Syria dengan mengikat pasukan itu 2-2 dalam aksi persahabatan Tier 1 baru-baru ini.
Rentak sama dikekalkan pada aksi kedua di Chengdu, China itu apabila hampir memalukan pasukan tuan rumah menerusi keputusan seri 1-1.
"Bagi saya motivasi pemain juga dah tentu meningkat di mana pemain akan lebih bersemangat untuk beraksi di peringkat antarabangsa kerana akan berjumpa dengan pasukan di ranking lebih tinggi.
"Ia sekali gus dapat menyediakan mental pemain di tahap terbaik terutamanya menjelang Piala Asia di Qatar tahun depan," kata Irfan yang juga bekas jurulatih Terengaanu, Felda United dan banyak lagi pasukan di Liga Malaysia.
Selepas ini, Malaysia akan beraksi di saingan Pestabola Merdeka pada bulan depan membabitkan tiga pasukan di ranking lebih baik iaitu India (102), Palestin (97) dan Tajikistan (110).
Pasukan negara diundi berdepan India dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti dan jika menang, bakal beraksi di final antara Palestin ataupun Tajikistan.
Ia sebahagian persiapan skuad negara sebelum menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini, serta pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -tahap-antarabangsa
|
|