|
TOMISLAV Steinbruckner (kiri) bersama Habib Haroon (kanan) semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 antara Terengganu FC menentang Central Coast Mariners FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui anak buahnya kini berada pada momentum terbaik untuk melakar kejutan menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC, malam esok.
Beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, jurulatih kelahiran Croatia itu menyifatkan prestasi terbaik pasukannya tanpa tewas sejak lebih tiga bulan lalu turut menjadi pemangkin semangat untuk memburu mata pertama berdepan juara Liga Australia musim lalu itu.
Jelas bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu, beliau juga sudah bersedia dengan strategi lebih ampuh bagi memastikan pemain skuad kendalian Abbas Saad itu tidak dapat bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan taktikal pihak lawan terutama purata saiz fizikal pasukan itu lebih tinggi berbanding pemain TFC.
"Sehingga perlawanan terakhir kami tidak perlu risau tentang pemulihan atau tentang kesebelasan utama kami, saya sudah ada bayangan pemain yang bakal membarisi skuad pada perlawanan itu nanti.
"Perlawanan terakhir kami tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 9 Jun lalu iaitu lebih tiga bulan lalu dan saya bangga, ini adalah momentum yang baik untuk pasukan kami malah keyakinan pemain berada pada tahap yang tinggi.
"Kami mempunyai cabaran yang baik dalam setiap perlawanan dan pasukan kami akan cuba memperagakan aksi terbaik lebih 100 peratus menentang pasukan lawan yang merupakan pasukan yang sangat bagus.
"Saya menonton perlawanan dalam Liga Australia, pasukan itu (Central Coast Mariners) adalah pasukan yang sangat bagus, kelihatan kuat dan mereka bermain sangat mudah, tetapi apabila anda bertanya tentang 'set piece' permainan, ia adalah sebahagian daripada permainan kami.
"Kami akan melihat bagaimana pemain bersedia untuk bertarung dengan mereka dalam elemen penguasaan bola, tapi saya ingatkan pemain juga perlu berwaspada," katanya ketika ditemui pada sidang media menjelang pertemuan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.
Ketika ditanya mengenai kecederaan pemain, Tommy menjelaskan pertahanan tengah importnya, Sardor Kulmatov masih belum cergas sepenuhnya.
"Petang ini adalah latihan terakhir, Kulmatov dalam dua perlawanan terakhir tidak bermain kerana kecederaan otot, tapi pemain lain sudah bersedia.
"Saya harap penyerang, Ivan Mamut yang ditugaskan menjaringkan gol mampu berbuat demikian, tapi kami kadang-kadang mahu lebih ramai pemain menjaringkan gol sama ada pemain tengah serta sayap dan bukan seorang sahaja, beginilah cara mahu mencapai kemenangan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... lakar-kejutan-tommy |
|