|
CHELSEA gagal mendapatkan mata penuh selepas diikat tanpa jaringan menentang Bournemouth kelmarin. - AFP
LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino mengakui segalanya serba tidak menjadi buat pasukan selepas gagal merekodkan kemenangan apabila diikat seri tanpa jaringan bertemu Bournemouth kelmarin.
Pada saingan itu, The Blues yang terdesak memburu kemenangan gagal mencipta sebarang peluang keemasan sekaligus hanya mampu berkongsi mata selain mengumpul lima mata selepas mengharungi lima perlawanan awal musim ini.
Kata Pochettino, kesalahan tidak wajar dituding buat barisan pemain yang dilihat bekerja keras untuk mencipta segala ruang dan peluang untuk memastikan tiga mata berharga dapat diraih.
“Saya rasa kelemahan paling ketara ketika ini adalah kegagalan pasukan menyudahkan peluang terhidang. Pada 25 minit pertama, kita sepatutnya sudah mendapatkan gol awal tetapi situasi berbeza dengan penyudah yang tidak tepat.
“Situasi ini memberikan tekanan buat pemain dan saya harap ia dapat diperbaiki pada perlawanan akan datang kerana tiada guna andai mendominasi permainan tetapi gagal menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, Pochettino mengesahkan tiga pemain pasukan, Marc Cucurella, Moises Caicedo dan Noni Madueke mengalami kecederaan dan terpaksa disisihkan pada perlawanan bertemu The Cherries itu.
“Alasan tiga pemain utama kami yang tiada dalam senarai pasukan kali ini adalah disebabkan kecederaan dan tidak sihat. Namun, ia tidak terlalu serius tetapi masih perlu dipantau pegawai perubatan daripada masa ke semasa,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... erba-tidak-menjadi/ |
|