|
ELAVARASAN (kanan) mahu memberikan fokusnya bersama Harimau Malaya dan melepaskan jawatannya sebagai pengendali B-23 negara. - FAM
JURULATIH berpengalaman, E. Elavarasan mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya selaku pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara meskipun berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 2024 yang akan bermula April tahun depan.
Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyatakan Elava-rasan bakal kembali fokus pada tugas hakiki selaku penolong jurulatih skuad Harimau Malaya kepada Kim Pan-gon.
Keputusan itu dibuat selepas Elavarasan mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin baru-baru ini sekali gus membenarkan dirinya untuk kembali bersama skuad senior.
“Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.
“Biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, namun mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos.
“Malah, skuad muda negara juga layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan berlangsung di Chonburi, Thailand baru-baru ini.
“Namun, Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong kepada Pan-gon.
“Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April tahun depan hanya akan diumumkan selepas beberapa penelitian dilakukan nanti,” menurut kenyataan FAM.
Sebagai rekod, Elavarasan telah diumumkan sebagai ketua jurulatih B-23 negara menggantikan tempat Brad Maloney pada 1 September 2022 selain dalam masa sama beliau masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada Pan-gon.
FAM membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi B-23 kebangsaan kerana merasakan kehadirannya boleh memudahkan proses kesinambungan pemain daripada skuad remaja ke pasukan senior Harimau Malaya.
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... arasan-kemudi-b-23/ |
|