|
Serie A: Inter gagah kuasai aksi derbi San Siro
MKHITARYAN (kanan) meledak dua gol ketika Inter berjaya meraih kemenangan besar ke atas AC Milan awal pagi semalam. - AFP
MILAN – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi enggan mendabik dada meskipun pasukannya mempamerkan aksi ‘lima bintang’ dengan menewaskan seteru tradisi, AC Milan 5-1 pada aksi Serie A di Stadium San Siro awal pagi semalam.
Pada perlawanan derbi Milan itu, skuad Inter meraih gol menerusi ledakan Henrikh Mkhitayran (dua gol), Marcus Thuram, Hakan Calhanoglu dan Davide Frattesi, manakala Milan mendapatkan jaringan tunggal hasil ledakan Rafael Leao.
Inzaghi mengakui sangat teruja dapat memastikan anak-anak buahnya meraih kemenangan kelima berturut-turut ke atas Milan, tetapi masih banyak usaha yang perlu dilakukan andai mahu merampas gelaran Serie A musim ini.
“Kami telah memulakan perlawanan ini dengan cemerlang apabila meraih gol awal dan semua pemain memainkan peranan masing-masing termasuk pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Pujian wajar diberikan kepada Mkhitaryan yang membalas kepercayaan diberikan apabila meledak dua gol. Apa yang pasti, ini adalah hadiah buat penyokong setia kami tetapi segalanya baru sahaja bermula dan musim masih lagi panjang,” katanya.
Sementara itu, penyerang baharu Nerazzurri, Thuram akui tidak menunggu masa yang lama untuk menyesuaikan diri selain semakin selesa dengan peranan yang diberikan selaku penggempur utama pasukan.
“Saya mahu membalas kepercayaan yang diberikan kerana saya tahu dengan kualiti yang saya miliki. Rakan sepasukan banyak membantu terutama Lautaro Martinez dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan,” katanya. – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... ksi-derbi-san-siro/
|
|