View: 698|Reply: 0
|
Skuad United termahal di dunia
[Copy link]
|
|
Penyerang Brazil, Antony (kanan) muncul pemain ketiga termahal dalam sejarah United di belakang Paul Pogba dan Romelu Lukaku. – Foto premierleague.com
LONDON: Skuad semasa Manchester United adalah yang paling mahal pernah dibentuk mengatasi Chelsea dan Manchester City, menurut satu kajian baharu daripada CIES Football Observatory.
Disiarkan semalam, penyelidikan terbaharu CIES menunjukkan United berbelanja £989 juta (RM5.78 bilion) terhadap skuad semasa mereka dengan £400 juta (RM2.33 bilion) dibelanjakan bagi yuran perpindahan sejak Erik ten Hag mengambil alih pada Mei tahun lalu.
Pengendali dari Belanda itu mengikat Casemiro, Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia pada musim panas pertamanya di Old Trafford bagi jumlah keseluruhan melebihi £120 juta (RM702 juta).
Beliau turut meluluskan pembelian Antony bernilai £85 juta (RM497 juta), menjadikan pemain Brazil itu pemain ketiga termahal dalam sejarah United di belakang Paul Pogba dan Romelu Lukaku.
Pada musim panas kali ini, United berbelanja £72 juta (RM421 juta) terhadap Rasmus Hojlund dan mengikat Mason Mount dari Chelsea dalam perjanjian bernilai £60 juta (RM351 juta) manakala Andre Onana menyertai mereka dari Inter Milan dengan harga £47 juta (RM275 juta).
The Blues tidak jauh di belakang United selepas berbelanja £975 juta (RM5.7 bilion) terhadap pemain sejak Todd Boehly dan Clearlake Capital mengambil alih daripada Roman Abramovich 18 bulan lalu.
Bulan lalu, Chelsea mengikat Moises Caicedo dari Brighton dalam perjanjian yang memecah rekod Britain dengan £115 juta (RM672 juta), mengatasi rekod mereka sendiri £105 juta (RM614 juta) ketika membeli Enzo Fernandez Januari lalu.
Casemiro antara pemain baharu yang dibawa Erik ten Hag pada musim panas pertamanya di Old Trafford. – Foto premierleague.com
City melengkapkan kelompok tiga teratas, sesudah berbelanja £900 juta (RM5.26 bilion) untuk membentuk skuad mereka dengan hanya suku daripada jumlah itu dibelanjakan bagi empat pemain baharu pada musim panas kali ini - Josko Gvardiol, Matheus Nunes, Jeremy Doku dan Mateo Kovacic.
Jelasnya, City mendapat pulangan yang lebih bagus dalam pelaburan mereka, yang dibuktikan dengan tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut dan pencapaian bersejarah treble musim lalu.
Paris Saint-Germain satu-satunya bukan kelab EPL dalam kelompok lima teratas.
Skuad juara Ligue 1 itu bernilai £860 juta (RM5.03 bilion) tetapi kelab Paris itu berbelanja lebih daripada pasukan lain di bahagian serangan mereka dengan pelaburan bernilai £480 juta (RM2.8 bilion).
Sebagai perbandingan, Liverpool membelanjakan lebih banyak berbanding pasukan lain untuk penjaga gol dengan £63 juta (RM368 juta), manakala United dan Real Madrid memimpin pasaran di bahagian pertahanan dan pemain tengah dengan perbelanjaan masing-masing £330 juta (RM1.9 bilion) dan £385 juta (RM2.25 bilion).
Kelab gergasi Sepanyol itu menghuni ranking kelapan dalam carta CIES dengan pelaburan bernilai £610 juta (RM3.56 bilion) dalam skuad mereka, yang termasuk perjanjian bernilai hingga £115 juta (RM672 juta) untuk mengikat Jude Bellingham pada musim panas ini.
PSG dan Real Madrid dua kelab bukan EPL dalam senarai 10 teratas, yang didominasi kelab EPL dengan Arsenal, Tottenham dan Liverpool masing-masing di tangga kelima, keenam dan ketujuh. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... d-termahal-di-dunia |
|
|
|
|
|
|
| |
|