|
Richarlison akan dapatkan rawatan psikologi
RICHARLISON bergelut untuk menjaringkan gol bersama Spurs. FOTO REUTERS
London: Penyerang Tottenham Hotspur yang kurang menyerlah, Richarlison berkata, dia akan mendapatkan bantuan psikologi di England selepas menangis apabila digantikan ketika Brazil menang 5-1 ke atas Bolivia, Jumaat lalu.
Terdapat foto menunjukkan penyerang Brazil berusia 26 tahun itu menangis di bangku simpanan selepas dikeluarkan pada minit ke-71 perlawanan kelayakan Piala Dunia di Belem.
Dia yang hanya menjaringkan empat gol dalam 40 perlawanan bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengakui melalui tempoh sukar di luar padang sejak lima bulan lalu, tetapi gelora itu sudah berakhir.
"Kini, semuanya kembali normal di rumah. Orang yang hanya memandang duit saya, sudah berlalu pergi," jelasnya.
"Kini semuanya akan berjalan lancar dan saya pasti akan bermain dengan baik di Tottenham dan menyerlah semula.
"Saya akan kembali ke England dan mendapatkan bantuan pakar psikologi untuk memastikan minda lebih baik. Ia akan membuatkan saya kembali dengan lebih gagah."
Tottenham yang dibimbing pengurus baharu, Ange Postecoglou, kini menduduki tangga kedua liga.
Bulan lalu, pengendali dari Australia ini menyokong Richarlison, yang menyertai Spurs dari Everton dengan nilai perpindahan 60 juta pound (RM351 juta) pada musim lalu, walaupun bergelut untuk menjaringkan gol.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... n-rawatan-psikologi
|
|