|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/botferi_1694163967.jpg)
AB Rauf menaiki bot ketika meninjau keadaan Jeti Melaka di ICQS Melaka di Kota Laksamana, Melaka hari ini. FOTO Bernama
Melaka: Jeti Melaka di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Melaka (ICQS) di Kota Laksamana, di sini akan mengalami perubahan drastik sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia termasuk mendalamkan kuala sepanjang kira-kira satu kilometer selain menyusun semula jadual perjalanan feri penumpang antara Melaka dan beberapa wilayah di Indonesia.
Beliau berkata, selain memberi perhatian terhadap persediaan menyambut kedatangan pelancong menerusi jalan darat, kerajaan negeri turut menumpukan kepada penambahbaikan laluan laut.
"Jeti Melaka ini adalah yang terbaik, lengkap dan bertaraf antarabangsa, manakala kaedah pengurusan oleh pihak Kastam dan Imigresen juga dilihat memenuhi standard antarabangsa.
"Kita berbangga kerana jeti ini adalah satu-satunya ICQS yang berada di tengah kawasan bandar dan dapat digunakan untuk menyambut kedatangan pelancong khususnya dari Indonesia," katanya selepas melawat Jeti Melaka, di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin.
Setakat ini, Jeti Melaka menyediakan beberapa feri penumpang pergi dan balik ke Bengkalis dan Dumai, Indonesia.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata jadual perjalanan feri kedua-dua arah itu akan ditambah baik menjelang tahun depan.
Beliau berkata, kekerapan jadual perjalanan feri Melaka-Dumai dan Melaka-Bengkalis dua kali sehari ketika ini, akan ditambah kepada empat kali pendaratan feri sehari, bergantung kepada keadaan pasang surut air laut.
"Kita akan menyusun semula jadual perjalanan keluar masuk feri dan akan melakukan penambahan pengangkutan air itu sempena TMM2024.
"Berdasarkan jadual pasang surut air ketika ini, kita dapati empat feri mampu mendarat di jeti ini dalam sehari.
"Menerusi penambahan jumlah perjalanan itu saya yakin hasrat untuk menarik pelancong khususnya dari Wilayah Riau ke Melaka sempena TMM2024 dapat direalisasikan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -persediaan-tmm2024 |
|