View: 1339|Reply: 0
|
Safawi harap terus 'ong' di China
[Copy link]
|
|
Safawi harap terus 'ong' di China
SAFAWI menjawab soalan wartawan sebelum skuad negara berlepas ke China, hari ini. FOTO FB FAM
Sepang: Bumi China sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan pemain sayap skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid yang pernah 'meletup' di negara Tembok Besar itu.
Antara keajaiban pernah dilakar pemain berusia 26 tahun itu adalah jaringan lencong jarak jauh dari sebelah tepi padang yang terus menerjah jaring ketika aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2019.
Pada aksi di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu melepaskan satu rembatan lencong cantik yang membuatkan pemain Shandong Luneng tergamam termasuk bekas pemain Manchester United, Marouane Fellaini yang seolah-olah tidak percaya dengan gol itu.
Malah, selepas aksi yang menyaksikan Shandong Luneng menang 2-1 itu, jaringan Safawi itu dinobatkan sebagai pemenang Gol Terbaik Sedekad ACL oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Selain itu, 'ong' di bumi China itu menyaksikan Safawi memainkan peranan cukup besar apabila membantu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara mencipta sensasi dengan mara ke suku akhir Kejuaraan AFC pada 2018.
Dia sendiri mencetak dua gol masing-masing satu ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Iraq serta jaringan penyamaan ketika seri 1-1 dengan Jordan dalam aksi peringkat kumpulan waktu itu.
Ditanya mengenai siri aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di China iaitu menentang Syria dan China, Safawi mengakui sedia mengulangi prestasi sama dan mencurahkan segala kudrat sekiranya diturunkan nanti.
"Insya-Allah kalau ada peluang sudah tentu saya nak buat yang terbaik untuk skuad kebangsaan.
"Jadi, saya akan terima arahan barisan kejurulatihan dan staf untuk saya laksanakan di dalam padang," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di Sepang, hari ini.
Di China nanti, skuad kendalian Kim Pan-gon dijadual menentang Syria pada Rabu ini, manakala satu lagi aksi berdepan tuan rumah Sabtu ini, dengan kedua-dua aksi berlangsung di Chengdu.
Aksi berdepan dua pasukan itu adalah sebahagian daripada persiapan menjelang kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
"Insya-Allah kalau diberi peluang untuk bermain di mana-mana, saya akan buat yang terbaik kerana saya rasa pasukan yang ada sekarang ini mempunyai peluang yang cerah," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -terus-ong-di-china
|
|
|
|
|
|
|
| |
|